Monday, November 17, 2008

Alkitab

Pengenalan

Alkitab merupakan buku atau Kitab rasmi bagi orang-orang Kristian. Ia diperakui sebagai Firman Tuhan. Sebab itu, buku ini adalah buku yang terpenting sekali dan tersuci sekali didalam agama Kristian.

Secara am, terdapat dua bahagian Alkitab yang utama. Bahagian pertama dipanggil Perjanjian Lama dan bahagian yang kedua pula dikenali sebagai Perjanjian Baru. Kedua-dua bahagian ini membentuk satu Alkitab dan masing-masing bahagian mempunyai kitab-kitab atau buku-buku yang tersendiri. Walau bagaimana pun, bilangan kitab didalam setiap bahagian mempunyai sedikit perbezaan. Ini adalah bergantung kepada setiap Gereja. Tetapi secara am, terdapat dua jenis atau versi Alkitab. Satu Alkitab versi Katolik dan satu lagi adalah versi Protestan.

Versi Alkitab

Alkitab versi Katolik secara sah mempunyai 73 kitab dimana dibahagian Perjanjian Lama mengandungi 46 kitab dan Perjanjian Baru mempunyai 27 kitab.

Alkitab versi Protestan biasanya mempunyai 39 kitab dibahagian Perjanjian Lama dan 27 kitab di bahagian Perjanjian Baru. Ini bererti jumlah kitab-kitab yang terdapat didalam Alkitab versi Protestan adalah 66 kitab sahaja, iaitu kurang 7 kitab berbanding dengan Alkitab versi Katolik. Inilah sebabnya, ada yang beranggapan bahawa Alkitab versi Katolik ini dianggap sebagai Alkitab yang Lengkap. Tambahan pula, Alkitab didalam bentuk inilah yang digunakan lebih daripada 1000 tahun sebelum munculnya alkitab versi Protestan.


Deuterokanonika

Kitab-Kitab yang dikategorikan sebagai Kitab Deuterokanonika iaitu kitab-kitab Tobit, Yudit, Sirakh, Barukh, Yeremia, 1 Makabe dan 2 Makabe tidak terkandung didalam Alkitab versi Protestan. Kerana kitab-kitab ini dianggap sebagai kitab-kitab yang tidak diilhamkan oleh Tuhan menurut pandangan mereka tetapi baik untuk dibaca. Walau bagaimana pun, sejak kebelakangan ini, banyak juga gereja-gereja yang lain mula menghargai Kitab-kitab ini dan menerimanya sebagai kitab yang diilhamkan oleh Tuhan. Antara gereja-gereja berkenaan ialah gereja-gereja yang beraliran Orthodox and Anglikan.

Penutup

Bagi kita orang-orang Kristian, Alkitab adalah Firman Tuhan dan ia adalah Buku Suci kita. Sebab itu, marilah menjadikannya sebagai Buku Pegangan, dan landasan serta dasar kehidupan kita setiap hari sebagai orang-orang Kristian. Jestru itu, marilah kita luangkan masa utnuk membaca, merenung dan menterjemahkan pengajarannya didalam kehidupan kita setiap hari selaku orang Kristian. Pendek kata, marilah kita rajin-rajinlah membaca Alkitab dan jangan lupa hidup mengikut pengajarannya. Dan kalau belum memiliki Alkitab, sila dapat senaskah Alkitab dengan segera. Amin.