Wednesday, December 31, 2008

Buang Sial! Azam Baru!

Saya masih ingat masa dulu-dulu. Kalau dihujung tahun banyak orang berkata,"Bah! Malam ini, jam 12 malam kita pergi mandi, buang sial!" Maka, bersama-sama dengan kawan-kawan kami ke pantai di Likas dan tepat pada jam 12 malam. Konon-konon mau buang sial! Tapi, persoalanya "sial" apa yang mahu dibuang? Sikap yang buruk? Kemalasan? Merokok? Minum? Penipuan? Pembohongan? Kejahatan?
Kalaulah pengertian "buang sial" adalah bermaksud untuk memperbaiki sikap dan sifat yang buruk dan jahat kepada kebaikan maka, ini adalah suatu sifat yang harus dipuji dan dihormati. Ini bererti mengubah kehidupan yang jahat kepada cara kehidupan yang lebih baik. Dan kalau didalam kontex keagamaan ini bererti bertobat daripada kehidupan yang jahat kepada kehidupan yang baik dimana mengutamakan Tuhan dan mengikut segala pengajaran-Nya.
Sesungguhnya, inilah sepatutnya yang difikirkan menjelang Tahun Baru iaitu membina sikap dan sifat yang baru iaitu mengutamakan Tuhan didalam kehidupan seharian. Kalau kurang berdoa maka rajin-rajinlah berdoa; kalau jarang pergi sembayang maka setialah pergi sembayang setiap minggu; kalau jarang membaca Alkitab maka ditahun yang baru selalulah membaca Alkitab; kalau kurang menyayangi sesama maka lebihlah menyayangi ditahun yang baru ini; kalau kurang sabar maka janganlah marah-marah ditahun baru ini, banyaklah bersabar; kalau kuat minum minuman yang beralkohol maka kurangkanlah pada tahun baru ini. Jangan mabuk-mabukkan!; Dan kalau mahu lebih berekonomi kerana mahu menabung wang simpanan yang lebih maka kurangkan perbelanjaan yang kurang berfaedah seperti membeli rokok dan barang-barang yang kurang berguna. Pendek kata, kita buanglah segala yang jahat dan buruk dan mulakanlah cara kehidupan yang baru ditahun yang baru ini.
Marilah ditahun yang baru ini kita membina cara kehidupan yang baru dimana Tuhan kita utamakan dan sentiasa melakukan yang baik dan menjauhkan apa juga jenis kejahatan agar hidup kita lebih diberkati oleh Tuhan yang Maha Esa. Marilah bersungguh-sungguh didalam memperbaiki cara kehidupan kita selaku umat Tuhan. Janganlah manis dibibir saja tapi dihati lain-lain. Cakap mau "buang sial" tapi tambah sial pula di hujung tahun ini dan tambah lagi "sial yang baru" ditahun yang baru ini! Jestru itu marilah sungguh-sungguh berusaha untuk melaksanakan "Azam baru" ditahun yang baru ini. amin.
"Selamat Tahun Baru 2009. Semoga Tuhan memberkati kalian dengan kesihatan badan yang sihat dan dengan kehidupan yang bahagia.Amin."