Tuesday, September 9, 2008

BASAH!


Pernahkah anda BASAH akibat terkena hujan? Saya pasti banyak diantara kita sudah mengalaminya. Basah kerana gara-gara tidak ada payung semasa hujan lebat. Tetapi didalam renungan hari ini, ini tidak ada kaitan dengan hujan. Apa yang dimaksudkan dengan slogan BASAH ialah "Bacalah Alkitab SAmpai Habis!" Ini adalah satu cabaran dan seruhan.


Setiap orang yang menganuti sesuatu agama mempunyai Kitab Suci. Bagi orang Kristian, Kitab Sucinya ialah Alkitab. Apakah anda sudah memiliki senaskah Alkitab? Kalau belum, sila dapatkan senaskah. Kumpul-kumpullah duit dan dapatkan satu naskah supaya anda berpeluang untuk membaca dan merenungnya dan seterusnya melakukan didalam kehidupan anda sesuai dengan apa yang diajar oleh Tuhan yang terdapat didalam Alkitab. Dan seterusnya sambutlah cabaran BASAH!


Kalau anda dah ada Alkitab. Pernahkah anda mengalami BASAH? Maksudnya membaca Alkitab sampai habis. Kalau belum, cuba mulakan aksi membaca Alkitab secara konsisten atau secara tetap tanpa gagal. Ini bererti membaca Alkitab setiap hari sehinggalah habis membaca keseluruhannya.


Banyak orang berfikir bahawa Alkitab itu terlalu tebal dan susah untuk dibaca sampai habis. Sebab itu mereka tawar hati atau putus asa untuk membacanya. Janganlah bersikap begini. Kerana perjalanan seribu kilometer bermula dengan satu langkah. Demikian juga dengan membaca Alkitab. Misi untuk membacanya sampai habis bermula dengan membaca mukasurat yang pertama atau bab yang pertama. Sebab itu mulakanlah projek anda: Membaca Alkitab sampai habis. Ini mungkin memerlukan masa yang agak panjang. Mungkin satu atau dua tahun baru siap. Tetapi jangan putus asa. Mulakan dan teruskan...Kalau ada tetap membaca dan membaca lebih banyak mungkin didalam masa antara tiga sehingga enam bulan dah siap membacanya!


Membaca Alkitab sampai habis bukanlah suatu perkara yang mustahil. Ini ada didalam genggaman kita. Apa yang penting ialah memulakannya. Sebab itu, jika anda berwawasan untuk membaca Alkitab sampai habis, mulakanlah pembacaan anda pada hari ini. Jangan tangguh-tangguhkan keinginan anda.


Tidak perlu membaca terlalu banyak setiap hari. Saya cadangkan anda membaca diantara satu sehingga lima bab sehari sahaja. Walau bagaimana pun anda boleh membaca lebih daripada itu sesuai dengan masa yang anda ada. Mungkin pada hari-hari biasa(Isnin -Jumaat) baca sekurang-kurangnya satu bab tetapi pada hujung minggu(Sabtu-Ahad) baca lebih sedikit kerana ada banyak masa. Cuti kerja bah! Jadi bacalah banyak sikit.


Sebenarnya, berapa bab anda baca setiap hari tidaklah begitu penting. Apa yang penting ialah dispilin dan kegigihan untuk membaca Alkitab setiap hari. Ini yang penting iaitu semangat untuk membacanya setiap hari tanpa gagal. Jestu itu, bacalah Alkitan setiap hari sehinggalah anda mengalami BASAH! Selamat membaca Alkitab, Firman Tuhan. Amin.

No comments: