Tuesday, July 8, 2008

Hal Berdoa

Satu daripada godaan dan cabaran yang paling besar didalam hidup kita sebagai manusia yang percaya kepada Tuhan ialah yang berkaitan dengan berdoa. Bukankah banyak kali kita gagal berdoa samada di rumah atau pergi berdoa bersama-sama dengan umat seiman di rumah ibadat atau Gereja? Apakah yang menyebabkan kita gagal berdoa?
Alasan memang banyak sekali tetapi alasan yang sering menjadi sebutan ialah "sibuk bah!" Kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan seharian dan dengan kerja-kerja yang lain maka ini menyebabkan kita tidak ada masa untuk meluangkan sedikit masa untuk berdoa kepada Tuhan. Tapi yang anehnya, kita mampu membagi-bagikan masa kita untuk berbagai-bagai hal duniawi tetapi tidak ada masa pula untuk Tuhan? Misalnya, kita mampu berkerja sekurang-kurangnya lapan jam sehari, menonton TV berjam-jam, dan ada masa yang cukup untuk bersukan, bersukaria dan sebagainya, tetapi tidak ada masa untuk Tuhan! Macam tidak masuk akal kan? Tidak logik lah!
Kenapa kita tidak masukkan hal berdoa itu sebagai salah satu daripada kesibukan didalam hidup kita? Kalau ini kita lakukan, sudah pasti meluangkan masa untuk berdoa kepada Tuhan tidak menjadi masalah. Atau pun kita (secara sedar atau tidak sedar) dah menganggap Tuhan itu tidak penting lagi didalam hidup kita kerana dah berjaya didalam hidup. Keselesaan dan kekayaan duniawai telah menyebabkan kita lupa pada Tuhan yang mencipta kita. Kita seolah-olah telah menempatkan Tuhan didalam kategori "kelas kambing" didalam hidup kita. Jadi, tidak hairanlah jika kita jarang sekali berdoa atau langsung tidak berdoa. Kerana yang bertakta dihati kita ialah kesibukan mencari wang, harta, kedudukan, dan kekayaan duniawi. Dan bukan mencari kekayaan Surgawi dan berkat daripada Tuhan.
Sesungguhnya, yang terpenting didalam hidup kita selaku manusia ialah Tuhan. Kerana DiA lah yang Maha Kuasa yang telah mencipta dan memberi kita kehidupan. Sebab itu, marilah belajar mengutamakan Tuhan didalam kehidupan kita setiap hari. Marilah bersungguh-sungguh untuk menempatkan DIA yang pertama didalam hati kita. Jika perkara ini, kita usahakan dengan gigih dan tabah, pasti hal berdoa kepada Tuhan setiap hari mampu kita lakukan dengan hati yang gembira dan penuh kesyukuran. Kerana kita tahu bahawa yang terpenting didalam hidup ialah Tuhan. Sebab itu, kita gembira malah merasa sungguh-sunguh bertuah kerana dapat menyembah dan bersyukur kepada Tuhan. Dan dengan rendah hati memohon keampunan apa jua kesalahan dan dosa yang pernah kita lakukan. Selain daripada itu kita juga dapat menyampaikan permohon kita kepada-Nya melalui doa. Disamping bersemangat tinggi untuk menjauhkan apa jua jenis kejahatan dan dosa kerana kita adalah orang-orang yang tabah dan setia berdoa kepada Tuhan dan mencintai-Nya sepenuh hati kita.
Yaa....bila difikirkan secara mendalam buat apa percaya kepada Tuhan jika tidak berdoa kepada-Nya. Jestru itu, marilah pastikan agar kita rajin berdoa dan mencuba sedaya-upaya agar tidak mengabaikan hal berdoa hanya kerana gara-gara "sibuk bah!" Jadi, janganlah malas-malas berdoa. Marilah sama-sama rajin berdoa agar kita tidak lupa pada Tuhan dan lebih diberkati-Nya. Semoga Tuhan yang Maha Esa dan Penyayang tidak akan lupa pada kita di hari akhir zaman. Amin.

No comments: