Showing posts with label Tuhan. Show all posts
Showing posts with label Tuhan. Show all posts

Saturday, December 24, 2011

Yang pasti didalam hidup ini...

Memang banyak sekali yang tidak pasti didalam hidup ini namun kita boleh menyatakan bahawa ada beberapa perkara yang pasti terjadi didalam hidup kita ini, antaranya ialah:
1.Yang bermula pasti akan berakhir: Hal/perkara ini dapat kita lihat atau perhati didalam banyak perkara. Yang paling nyatalah semua orang yang hidup didunia ini suatu hari nanti akan mati-masuk kedalam kuburan.
2.Harta-benda: Segala titik peluh kita utk bertungkus-lumus utk mengumpul harta-benda yg dianggap suatu "kekayaan" akhir-akhirnya kita tinggalkan begitu saja apabila kita meninggalkan dunia ini. Jadi, jangalah terlaku gila mencari harta-benda.
3.Kecantikan atau ketampanan kita tidak akan berkekalan kerana bila kita sampai  kpd tahap org tua-tua, muka dan wajah tetap berkeropot juga!
4.Kepintaran dan kepandaian kita pun ada hadnya kerana bila kita sudah benar-benar tua alias nyanuk, kita mana lagi pandai. Pelupa sudah bah!
5.Badan yang sihat dan tegap pun akan lenyak begitu saja. Ini pasti terjadi apabila kita mati dan badan kita menjadi rebut dan menjadi tanah. Jadilah....janganlah terlalu sombong kerana cantik atau tampan. Kerana semua itu akan berakhir.
Pendek kata, yang benar-benar  pasti yg akan terjadi didalam hidup kita ialah kita akan MATI BAH SUATU HARI NANTI. SEBAB ITU, SEDIA-SEDIALAH SEBELUM TERLAMBAT. Imanilah Tuhan Yesus sepenuh hati dan cintailah Tuhan Allah seiklas hati dan sayangilah sesama manusia dgn baik. Dan Bertobatlah dan buatlah yang baik-baik sebelum kematian menwarni kehidupan kita. Amin.

Thursday, September 15, 2011

Pedoman am...

1.Bah...kalau ada kerja, kerjalah bagus-bagus. Jangan malas...Ingatlah gaji diberikan bukan untuk kemalasan tetapi pekerjaan yang dijalankan. Jadilah pekerja yang baik,iklas & jujur. Barulah padan menerima gaji setiap bulan.
2.Bah...dah kahwin jadilah suami atau isteri yang baik. Janganlah dah berkahwin pun masi hidup macam orang bujang. Ingatlah tanggungjawap sebagai orang yang dah berkahwin.
3.Bah..kalau ada duit, pandai-pandailah berbelanja. Gunakan wang untuk kebaikan ahli-ahli keluarga. Jangan asyik kasi belanja kawan-kawan dan orang lain sedangkan ahli-ahli keluarga sendiri diabaikan. Jangan begitu bah!
4.Bah...baguslah berhenti merokok. Membakar duit bah tuu dan bikin sakit. Berhentilah sebelum "KO" gara-gara merokok. Berhentilah supaya hidup lebih "OK."
5.Bah...Janganlah gara-gara dah  bergelar "Tuan" dan kaya lupa pula  Tuhan. Ingat-ingatlah bahawa TUHAN LEBIH PENTING  daripada gelaran "Tuan."

Monday, January 24, 2011

Realiti kehidupan 1

Kehidupan ini adalah pemberian Tuhan Yang Mahas Esa,
maka dengan itu gunakanlah kehidupan ini sebaik yang mungkin.
Jangan sia-siakan kehidupan ini dengan membuat perkara-perkara
yang tidak berguna dan tidak berfaedah. Buatlah kebaikan
sebanyak yang boleh dan elakkan kejahatan dan dosa!

Friday, November 26, 2010

Saatnya akan tiba....

Sama ada kita mau atau tidak; sama ada kita bersedia atau tidak, saatnya akan tiba tanpa kita duga. Ia boleh terjadi pada bila-bila masa dan apabila ianya terjadi maka segala-gala didalam hidup kita tinggalkan.
Pada saat itu, harta yang kita kumpulkan akan menjadi harta peninggalan yang bakal diwarisi oleh beberapa orang;
Pangkat dan kedudukan dunaiwai tidak berguna langsung...
Sama ada kita cantik atau hodoh; besar atau kecil, tinggi atau pendek.....semuanya tidak bermakna sama sekali.
Yang menjadi ukuran ialah iman kita kepada-Nya dan kesetiaan kita kepada-Nya. Demikianlah  keadaannya bila saatnya akan tiba.....iaitu kematian yang bakal kita lalui.
marilah bersiap untuk menghadapinya dengan beriman kepada Tuhan Allah yang Maha Kuasa sepenuh hati. Amin.

Monday, July 26, 2010

Kenapa OHH.... Mengapa?!

Ada pembunuhan dimerata-rata dunia; Ada perperangan dan pemberontakan disana sini; Ada penipuan didalam setiap lapsian masyarakat; Ada penyakit  yang susah disembuhkan, Ada masalah dimana-mana, ada penipuan, keganasan didalam perbagai bentuk dan kejahatan yang bermacam-macam dilakukan oleh manusia disetiap pelusuk dunia dna kita sendiri membaca disurat-suratkhabar, melihat di kaca TV dan....banyak kematian  dimana-mana dan kita sendiri adakalanya mengalami kesusahan, masalah, kesedihan, kesakitan dan........semua perkara-perkara ini membuat kita melaungkan "Dunia ini Kejam! Kejam! Oh! Dimanakah kau Tuhan? Kalau kau benar-benar menyayangi manusia kenapa kau tidak tamatkan segala kejahatan dan keganasan? Kenapa?OH.... Mengapa?

Yaaa....beginilah sifat manusia. Dia sendiri yang buat salah dan timbulkan kekacauan dan lakukan kejahatan, lain orang pula yang disalahkan. Dan yang paling aneh dan ganjil sekali ialah Tuhan pula yang disalahkan yang langsung tidak ada kaitan dengan kejahatan dan keganasan yang dilakukan oleh manusia yang  adakalanya memperalatkan nama Tuhan untuk melakukan kejahatan kepada sesama manusia.

Kenapa kita bertanya kepada Tuhan yang bukan penyebabnya? Kenapa kita tak tanya kepada orang-orang yang melakukannya? "Hoi! Kenapa kamu buat jahat?" Hoi! Hoi! Kenapa kamu bilang kamu percaya Tuhan tapi  buat kejahatan? Kenapa?" Persoalan ini memang sukar dicari jawapan yang memuaskan. Jadi, apa yang perlu kita lakukan?

Kita boleh memberi teguran dan tunjuk-ajar kepada mereka supaya jangan buat kejahatan  melalui perbagai cara. Misalnya melalu surat, siaran TV, penerbitan buku-buku dan sebagainya. Kita juga boleh berdoa untuk mereka agara mereka disentuh oleh Tuhan agar mereka sedar dan bertobat. Dan yang akhir sekali, sekurang-kurangnya kita jangan menjadi penyebab kejahatan dan keganasan. Jestru itu, saudara dan saudari, marilah kita menjauhkan dan menyangkal serta membatalkan apa juga jenis kejahatan dan bentuk keganasan. Marilah kita membina dunia yang aman dan damai tanpa kejahatan dan keganasan. Mari amalkan semangat bersaudara dan bersatu didalam hal menentang kejahatan dan keganasan. Dan marilah nama saling menghormati dan mengasihi sesama selaku insan yang dicipta oleh Tuhan Yang Maha Esa suapaya dunia yang kita diami ini menjadi tempat tinggal yang lebih baik dan aman.Amin.


Tuesday, April 27, 2010

Sajak dulu-dulu

Hidup ini...


bagaikan roda yang berpusing

buruk dan baik akan ditempuh;

bagaikan laut ada pasang dan surut

kala bergelora dan tenang

demikianlah hidup.....



Pahit dan manis akan dikecap

dugaan dan cabaran ditempuh

pujukan dan godaan ditentang

setia dan jujur dipegang

Kehendak Tuhan harus dicuba dan diikut.



(Nukilan Patrick @ Pat Jerome,Tambunan, 28.2.1982)

Saturday, September 26, 2009

Jaga badan bah!


Dan...bila saya pikir-pikir lagi apa bah yang nombor dua yang terpenting sekali didalam hidup. Maka setelah memeras otak beribu-ribu saat akhirnya saya percaya bahawa perihal "Jaga badan" ini penting ooh! Sabab kalau kita tidak Jaga Badan, nanti sakit-sakit susah juga! Bukan saja diri sendiri yang menderita tapi orang lain pun turut sengsara. Kerana mereka, mau atau tidak terpaksa juga tingu-tingu dan menjaga kita semasa sakit. Maklumlah sayang boh gia....Lagi pun satu keluarga bah! Tapi ..mungkin didalam diam-diam mereka mungkin merunggut-runggut juga kerana penat bah jaga orang sakit lebih-lebih lagi kalau kes yang berat dan teruk! Misalnya sakit dan tidak dapat berjalan: Kasi makan tuh ok lah. Senang.. kasi suap saja. Dan time kasi mandi pun tak berapa susah. Tapi kalo dia mau pegi tandas untuk "melabur." Tada cara lain terpaksa diangkat. Aduh! Bukan main susah. Lepas tuu "saham-saham" yang "dikeluarkan" tuh...bukan wangi ooh!(Huak! Wak! Wak....eee macam mau muntah pula! He he he...). Sebab itu, pandai-pandailah Jaga Badan supaya tidak sakit dan tidak kasi susah orang! Hargailah kesihatan badan. Jangan cari penyakit. Kata orang Pencegahan itu lebih baik daripada berubat! Maklumlah berubat bukan murah oh! Nyawa bah tuu....MAHAL! Jadi, janganlah kita sia-siakan kesihatan badan kita. Pandai-pandailah bah JAGA BADAN Yang di beri oleh Tuhan dengan Iklas. Tada sewa ooh! Free bah!


Macam-macam keburukan dan kesusahan kalau kita sakit, antaranya: Tada selera makan, rasa lemah dan layu, pening kepala, sakit perut, tak dapat tidur dengan baik, tak dapat pegi kerja atau buat kerja, tak dapat pegi sembayang dan mau acara "Aramai Tii" pun susah. Percayalah......tidak SIOK bah kalau sakit. Jadi, tidak rugi bah Jaga Badan atau Jaga kesihatan badan. Banyak kebaikan dan keuntungan kalau kita sihat dan walfiat! Jestru itu, Jagalah kesihatan. Sayang-sayanglah itu badan.


JADI.....Hal Makan, makan juga tapi janganlah berlebih-lebih. Nanti bertambah berat, jadi gemuk mengundang masalah tuh. Senang tau menjadi besar tapi kasi kurang balik susah oh. Susah oh kasi slim balik. Jadi, kalau makan, janganlah ikut nafsu tapi ikut keperluan mah...Dan jangan lupa kalau dah jadi besar berusahalah dengan sedaya upaya untuk kasi kurang itu makanan dan buatlah kerja-kerja yang boleh mengurangkan berat badan. Misalnya jogging, berjalan kaki, berkebun sikit-sikit, atau apa saja aktiviti yang boleh membantu meringankan badan kita.


Pasal minum.....kalau boleh minum puas-puas. Air lah! Bukan yang bikin kasi pening kepala. Tapi kalo mau juga, bah.....sikit-sikit bah. Jangan sampai "ampai-ampai dan kalapik." Janganlah bah main mabuk-mabuk. Bahaya tuu...Lagi pun sakit bah kalau mabuk. Jadi sadang-sadanglah...Jangan talampau kio!Jadi, kalau difikirkan secara mendalam, memang banyak betul keburukan dan kesusahan yang kita akan alami jika kita tidak JAGA BADAN. Jestru itu, marilah menyayangi badan kita supaya sihat dan bebas daripada kesusahan dan penyakit yang merbahaya. Janganlah kita sia-sia pemberian Tuhan. Badan kita adalah hadiahNya kepada kita. Jadi marilah menghargai hadiah ini dengan memeliharanya dengan baik sekali. Pendek kata, marilah kita "JAGA BADAN!"(He he he...)

Sunday, August 23, 2009

Surga

Banyak orang mahu masuk Surga tetapi kehidupan
mereka setiap hari bagaikan orang yang tidak
mahu masuk Surga. Jadi, kalau ada niat yang suci, jadilah manusia yang beriman, taat dan setia kepada Tuhan supaya ada peluang yang besar dan cerah ke Surga.Amin.

Monday, June 29, 2009

Pindah....gara-gara jatuh cinta?

Yaa...perasaan jatuh cinta kepada seseorang memang sungguh-sungguh indah! Dari senyumannya, keperibadiannya, caranya bercakap, gerak-gerainya; Semuanya manis dan menarik hati. Pendek kata segala-galannya indah. Kecacatan, kelemahan dan kekurangan pun dilihat indah. Yaa...begitulah keindahan bila jatuh cinta. Memang sungguh mengasyikkan dan diri bagaikan "terabung-apung di udara." Siokkkkkkkkkkk......bah!

Gara-gara jatuh cinta orang sanggup membuat apa saja. Malah rela berkorban apa saja asalkan dapat bersatu dengan kekasih yang menjadi idaman hati. Ada yang sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan; Ada yang sanggup menjadi miskin dan ada yang sunggup menyerahkan tubuh dan badannya meskipun belum lagi secara sah menjadi pasangan suami-isteri yang sah, demi "mengikat" kekasih dan membuktikan cintanya. Selain daripada itu ada yang rela menukar agama yang dipegangnya sejak dilahirkan dan memeluk agama baru meskipun tidak tahu apa-apa mengenai agama berkenaan atau tidak percaya dengan agama berkenaan. Kerana yang penting baginya ialah dapat berkahwin dengan kekasihnya. Begitulah "kehebatan dan kegilaan" bila jatuh cinta!

Tapi.....berpindah ke agama lain kerana gara-gara jatuh cinta dan seterusnya berkahwin adalah satu tindakan yang tidak bijak dan tindak manasabah. Kerana orang harus menganuti sesuatu agama yang dia benar-benar fahami, yakini dan imani secara perbadi. Jadi, berpindah agama kerana gara-gara jatuh cinta atau kahwin adalah suatu tindakan yang tidak bijak dan merugikan diri sendiri. Kerana aksi berpindah agama mengikut cara ini adalah tidak sah, tidak betul dan tidak adil kepada tubuh dan roh diri sendiri. Kerana tidak ada kejujuran, keiklasan dan kepercayaan yang sepenuhnya untuk mengikut agama berkenaan. Meskipun, perbuatan seperti ini mungkin menguntungkan diri sendiri semasa di dunia tetapi tidak akhirat nanti. Sebab itu, jangan main-main didalam hal berpegang kepada agama. Janganlah dengan sesuka hati berpindah tanpa berfikir semasak-masaknya dan tanpa penghayatan yang penuh dan mendalam.

Marilah kita sama-sama ingat dan menyedari bahawa Tuhan yang Maha Esa mengetahui isi hati kita. Kita tidak dapat menipu-Nya. Sebab itu, kalau mahu mengikuti suatu agama, ikutilah agama berkenaan kerana kita ada kefahaman, pengertian dan keyakinan yang penuh dan mantap pada agama berkenaan. Ini bererti, kita mengikutnya diatas kemahuan dan kehendak kita sendiri tanpa tekanan dan pengaruh dari mana-mana pihak dan orang. Pendek kata, kita dengan bebas, iklas dan jujur memilih agama berkenaan. Maka dengan ini pilihan kita diberkati dan diredai oleh Tuhan yang Maha Kuasa. Amin.

Sunday, April 26, 2009

Dua kepala!

Kita sering mendengar orang menggunakan peribahasa ini," Dua kepala."
"Bah! Jangan dua kepala!; Dia tuh dua kepala!; Baru tau! Siapa suruh dua kepala! Maksudnya, yang tidak sepenuh hati dan tidak ada pendirian yang tetap; tidak boleh dipercayi sepenuhnya. Memang banyak sekali orang yang ada masalah didalam hal ini. Kerana tidak ada keiklasan dan kejujuran kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Masalah ini dapat dilihat didalam banyak aspek antaranya adalah seperti berikut:

1. Perkahwinan: Ada orang dua kepala didalam hal perkahwinan? Sudah kahwin tetapi mengaku bujang didepan wanita yang cantik?; Ada wanita yang dah bersuami tetapi mengaku masih single bila ketemu dengan lelaki yang tampan dan kaya? Pendek kata, berlaku curang kepada pasangan anda sendiri. Hentikanlah sifat "dua kepala" ini. Setialah kepada pasangan anda sampai selama-lamanya.

2.Politik: Ada orang minat sekali berpolitik tetapi tidak ada ketetapan? Sikit-sikit "lompat sini dan lompat sana." Bah, kalau berpolitik jangan terlalu melompat nanti orang tidak ada kepercayaan kepada anda lagi. Jadi, setialah kepada parti yang anda anggotai. Hentikan "politik katak."

3.Kerja: Ada orang bermati-matian mencari kerja tetapi bila dah dapat kerja, tidak buat kerja pula. Malas pula berkerja. Selalu lambat datang kerja tetapi pulang selalu awal. Dan ada pula membuat alasan "Penatlah kerja!" Memanglah penat berkerja itulah sebabnya anda dibayar gaji untuk berkerja. Anda dibayar gaji bukan untuk bermalas-malasan. Jadi, rajin-rajinlah berkerja.

4. Agama: Ada orang juga dua kepala didalam hal agama? Dah mengikuti satu agama tetapi didalam masa yang sama, berjinak-jinak juga dengan agama yang lain; Ada pula yang curi-curi pergi menghadiri Ibadat di tempat agama yang lain tetapi Ibadat di agama sendiri diabaikan; Ada pula yang aktif di agama yang lain tetapi mengaku juga sebagai anggota agama yang lain pula. Ingatlah, jangan main-main didalam hal agama. Sedarilah bahawa Tuhan itu tidak dapat ditipu dengan perbagai muslihat. Sebab itu, kalau dah ikut satu agama, ikutlah agama berkenaan dengan jujur dan iklas. Jangan dua kepala!

5.Sekolah: Ada pula pelajar yang dua kepala! Hari-hari pergi sekolh tetapi jarang sampai ke sekolah. Menyimpang pergi ke kedai-kedai. Jalan-jalan-melepak sini sana dengan kawan-kawan yang tidak membawa kemajuan. Bah, sekolahlah bagus-bagus dan belajarlah baik-baik supaya ada mendapat kerja yang bagus dimasa akan datang. Jangan sia-siakan masa persekolahan. Hargilah peluang belajar yang ada.

Saudara dan saudari, mungkin kita juga banyak kali bersifat "dua kepala" didalam banyak hal. Tetapi, marilah mengubah sifat yang buruk ini. Kerana tabiat ini, merugikan dan tidak menguntungkan. Sebab itu, marilah kita mengamalkan "satu kepala" didalam apa juga hal yang ingin kita lakukan. Kerana sifat ini membawa kebaikan, keberhasilan dan kemajuan kepada diri kita.

Monday, March 30, 2009

Menyahut Panggilan Tuhan


Firman Tuhan berbunyi, "Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit"(Mat 9:37). Ini adalah hakikat dan kenyataan yang benar! Kerana memang umat Katolik banyak sekali tetapi para pekerjanya terutama sekali para paderi adalah sedikit sahaja. Misalnya di Negeri Sabah umat Katolik adalah lebih daripada 300 ribu orang tetapi jumlah paderi yang melayani mereka adalah kecil sekali iaitu hanya hanya 47 orang sahaja! Ini adalah mengikut statistik Gereja Katolik pada tahun 2007. Ini bererti para paderi di Sabah memang "penat teruk dan "beban" mereka memang berat sekali."
Mereka harus berkerja keras dan bertungkus-lumus untuk melayani umat yang memerlukan pelayanan. Yang pasti hidup seorang paderi memang "teruk dan penat sekali kerana melayani begitu banyak umat yang mempunyai berbagai-bagai permintaan, keperluan, sifat dan tabiat. Ini bererti kit perlukan lebih banyak paderi. Sebab itu, sahutlah panggilan Tuhan menjadi paderi!
Kepada kaum belia terutama sekali para lelaki, sahutlah Panggilan Tuhan menjadi paderi. Kerana Gereja kita sangat-sangat memerlukan lebih banyak paderi. Fikir-fikirlah perkara ini iaitu itu menjadi seorang paderi. Janganlah hanya terarah untuk menjadi seorang guru/ doktor/ peguam atau penyanyi dan lain-lain.
Kalau anda berminat untuk menyahut Panggilan Tuhan untuk menjadi paderi, hubungilah paderi yang terdekat dimana anda tinggal. Misalnya paderi di paroki anda sendiri atau paderi di Gereja tempat anda selalu pergi sembayang pada hari Minggu. Sahutlah panggilan Tuhan, kerana mungkin anda dipanggil-Nya untuk melayani ladang-Nya yang luas ini. Amin

Saturday, February 21, 2009

Realiti hidup yang pasti terjadi!

Pernahkah anda berfikir dan merenung secara mendalam, apakah yang pasti dan tetap akan terjadi didalam hidup anda? Saya sudah beberapa kali merenung perkara ini dan inilah hasil renungan saya.
Yaa.....segala-gala didalam hidup ini tidak pasti dan tidak berkekalan. Semuanya akan pergi dan semuanya akan kita tinggalkan suatu hari ini. Tetapi satu perkara yang pasti terjadi ialah kehidupan kita didunia ini akan berakhir. Yaa...kita akan mati. Inilah yang pasti didalam hidup ini bahawa saya, anda, kamu, mereka dan setiap manusia yang hidup didunia ini, suatu hari nanti akan mati! Agak menakutkan juga bila difikirkan. Tetapi tidak perlu takut. Inilah realiti kehidupan yang perlu kita terima dengan rendah hati dan hadapi dengan tenang. Bagaimana? Buatlah persiapan. Bagaimana?
Mungkin ada banyak cara untuk menghadapinya tetapi saya percaya secara am ada empat perkara yang penting yang mesti kita berikan perhatian untuk menghadapi kenyataan hidup ini:
Satu, berimanlah kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Jangan main-main dan lalai didalam hal berpegang kepada pengajaran Tuhan. Ikuti pengajaran-Nya dengan tabah dan setialah kepada-Nya sampai mati.
Kedua, jauhlah apa juga bentuk dan jenis kejahatan. Kerana semua ini adalah dosa dan orang yang mati bersama-sama dengan dosanya tanpa sempat bertobat pasti tidak akan diberkati oleh Tuhan. Peluang untuk dijemput untuk masuk kedalam Surga adalah jauh sekali dan pintu neraka pasti terbuka luas. Sebab itu, marilah berusaha sedaya-upaya menjadi orang yang benar-benar beriman. Ketiga, sembahlah Tuhan sepenuh hati dan setialah berdoa kepada-Nya setiap hari. Keempat, lakukanlah kebaikan dan kebajikan kepada sesama manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit, kedudukan, status, pangkat, dan agama. Hormatilah dan cintalah semua orang.
Semoga kita selalu ingatkan diri kita sendiri bahawa suatu hari nanti kita akan merantau ke "dunia yang baru" tanpa diberi kad jemputan atau kiriman SMS. Jadi, masing-masinglah kita bersedia untuk menghadapi realiti kehidupan ini tanpa takut. Kalau ada kesalahan dan dosa, bertobatlah dengan iklas dan tanpa bertangguh-tangguh. Kerana kehidupan esok tidak pernah dijanjikan kepada kita. Mohonlah pengampunan kepada Tuhan yang Maha Pengasih dan serahkanlah kehidupanmu sepenuhnya kepada-Nya. Kerana Dialah Tuhan yang Maha Esa. Amin.

Tuesday, February 17, 2009

Kenapa dan mengapa?!

Untuk suami-isteri

1: Kenapa yaa...? Masa dulu-dulu sebelum kahwin lelaki alias boyfriend sanggup menunggu si girlfriendnya berjam-jam di salon untuk "set rambut, cuci rambut, keriting rambut dan lain-lain lagi. Dan bila ditanya,"Bang...tak bosan ke menunggu?" "Ahh....tidaklah....." jawapnya dengan senyuman yang lebar sekali. Tapi..........bila dah kahwin, isteri minta teman ke salon:"Huh! Pergi sendiri bah. Kalau kau pergi salon sampai durian berbuah pun belum siap-siap!" Kini sudah kurang sabar malah banyak kali hilang kesabaran....Mengapa yaa?

2: Wah.....sebelum kahwin kekasih, pujaan hati sentiasa di panggil dengan mesra dan dengan nada manja sehingga rasa-rasanya macam berjalan diatas tanah! Telinga pun kembang dan bulu roma pun berdiri bah!:"Darling.... Oh...darling...."; Bang....Oh...bang...Tapi bila dah kahwin, panggil isteri/suami dengan manja pun macam malu-malu sudah. Dan nasip-nasiplah kalau kena panggil "Darling" sekali setahun. Untung lagi itu ayam kena panggil bagus-bagus! Yaa...respect atau rasa hormat semakin hari semakin luntur. Patutlah hidup dengan pasangan semakin membosankan! Dan.....mulalah berfikir yang bukan-bukan,"Kenapa yaa....saya kahwin dengan si gutuk nii?"(He he he....)

3: Dulukan.... sebelum kahwin bukan main jaga badan dan pakai "make-up". Tapi, kenapa yaa.....dah kahwin malas-malas pula bermake-up. Kadang-kadang tuu merah juga itu bibir tapi bukan kerana gincu tapi gara-gara makan sirih! Dan lelaki pula macam bunting. Besar perut! Yaa....kini kecantikan tidak lagi dijaga. Patutlah mata mula merasa "gatal" bila nampak yang lain!

4: Wah.....bila dikenang masa lalu terutama sekali sebelum kahwin. Wah! Bukan main romantik lagi. Tapi, sekarang dah ada anak, kira-kira mau tunjukkan keromantikan bukan pula disambut dengan baik. Kena marah pula: "Apa nii! Dah tua pun bertabiat!" Yaa... kini kemesraan dan kasih-sayang semakin pudar. Patutlah rasa-rasa macam mau bercerai saja! Tapi....tak juga berani bercerai. Hmmm......masi ada cintakasih mah....dan masi ingat Tuhan mah!( Shhhissssssssss..........sebenarnya tak mau bercerai kerana dah tua. Nanti cari yang baru susah lagi. Takut tak laku, maklumlah dah tua bah !)

5:Wah....semasa anak pertama lahir kegembiraan begitu jelas terukir: "Wah! mata dia macam mau kau punya......Dan hidung dia macam saya punyalah.... Wah! comel dan cutenya anak kita! " Susanan ini diiringi dengan gelak-ketawa tanda kemesraan dan kebahagian sumai-isteri. Tapi kini......Nah! Itu anak kau! Keturunan kau! Tiada guna!

Kenapa dan mengapakah semua perkara ini terjadi setelah berkahwin? Mengapa? Oh! Kenapa?! Jawapanya......kerana masing-masing lupa bahawa tujuan utama untuk perkahwinan adalah untuk saling mencintai dan hidup bahagia didalam nama Tuhan. Sebab itu, kekalkan kasihsayang dan keromantikan dan kuatkan iman kepada Tuhan. Jangan biarkan kemesraan dan keromantikan bersama itu luntur dan pudar pelahan-lahan. Bangkitlah dan kembalilah seperti dulu. Kembalikan cara bercinta seperti dulu iaitu sebelum berkahwin. Pasti kamu romantik dan bahagia lagi....(Harap-harap lah. Kalau tidak, pergi pungut sikarap lah di kebun getah.He he he).

Saturday, February 14, 2009

Sejarah St.Valentine

Pada masa kini Hari Valentine adalah terkenal dan dirayakan diseluruh dunia. Tapi, tahukah anda sejarah bagaimana perayaan ini terjadi? Perayaan ini memang dikelilingi dengan perbagi mysteri. Namun bulan Februari sememangnya dianggap sebagai Bulan Romantik. Tetapi bagaimana pula perayaan ini dikaitkan dengan St.Valentine? Meskipun, terdapat berbagai cerita mengenai perayaan ini namun kisah yang paling menarik hati dan hebat serta diperakui kebenarannya adalah kisah seorang paderi di kota Rome,Italy. Namanya ialah Valentine atau Valentinus yang hidup didalam lingkungan abad ke tiga semasa pemerintahan Emperor/Raja Claudius II .
Baginda berpendapat bahawa lelaki yang bujang menjadi askar yang lebih baik daripada mereka yang telah berkahwina dan berkeluarga. Maka, baginda membuat undang-undang yang melarang para askar yang masih bujang daripada berkahwin atau mempunyi kekasih.

Melihat dan menyedari ketidak-adilan undang-undang ini, Valentine mengingkari undang-undang ini dengan menjalankan upacara perkahwinan kepada para pasangan muda secara rahsia. Apabila Raja Claudius mengetahui perkara ini, dia memberi perintah supaya Valentine ditanggkap dan dihukum mati. Tetapi kematiannya telah membangkitkan "Semangat Valentine" dikalangan pasangan kekasih yang saling bercinta. Mereka terus bercinta dan tidak takut dihukum. Yaa....kerana cinta manusia sanggup buat apa saja demi membuktikan cintanya kepada kekasihnya. Malah sanggup berkorban apa saja. Kadang-kadang "agama" pun sanggup dia tinggalkan demi bersatu dengan kekasih, pujaan hatinya!
Walau bagaimana pun, bercintalah dengan baik dan berhati-hati bila bercinta terutama sekali kekasih yang mahukan anda membuktikan cintamu kepadanya. Jangan terlalu beria-ia membuktikan cinta dengan "membuka dan menyerahkan segala-galanya." Nanti habis manis, sepah dibuang. Sendiri juga yang rugi dan merana. Kelapa dah ditebuk tupai yang nakal dan tidak bermoral, tidak bertanggungjawap. Menangis sehingga kekeringan airmatadan menyesal sepenuh hati pun....tak dapat lagi mengembalikan kegemilangan "mutiara" yang tercemar! Jestu, itu pandai-pandailah menjaga maruah dan harga diri sendiri semasa berdating. Jangan takut melawan kekasih yang gatal dan cuba mengambil kesempatan. Kalau anda terjumpa atau punya kekasih seperti ini, TINGGALKAN DIA. Kerana bukan seekor kumbang di taman dan bukan sekuntum bunga di taman. Dan....bukan seekor ikan di laut! Carilah yang lain....yang lebih baik dan beriman kepada Tuhan.

Nah! Kini Hari Valentine dirayakan bukan saja untuk mengingatkan kita semua betapa pentingnya mencintai orang yang paling kita sayangi seperti girlfriend atau boyfriend; atau suami atau isteri dan lain-lain. Tetapi didalam masa yang sama, kita juga diingatkan supaya mencintai Tuhan, sesama manusia dan juga pada diri sendiri secara lebih mendalam dan dengan cinta yang suci dan sejati.
Akhir sekali,Selamat menyambut Hari Valentine kepada semua. Tuhan memberkati kita semua. Semoga cinta kita kepada Tuhan, sesama manusia dan juga kepada diri sendiri semakin mendalam dan kuat! Amin.

Monday, February 9, 2009

Gara-gara kemerosotan Ekonomi Dunia!

Kemerosoton ekonomi berlaku diseluruh dunia. Ini menyebabkan banyak orang kehilangan pekerjaan; banyak syarikat-syarikat mengalami kerugian atau mendapat keuntungan yang menurun; tidak kurang juga kilang-kilang ditutup dan harga barang-barang pula meningkat. Ini memang suatu peristiwa yang membimbangkan. Tetapi adakah sesuatu yang baik timbul daripada peristiwa yang buruk ini?
Sudah pasta ada, antaranya: Kini orang lebih berhati-hati bila berbelanja; Bertindak dan berfikir dengan bijak bila mahu membeli sesuatu; Orang juga kini kurang berbelanja dengan barang-barang atau perkara-perkara yang tidak begitu berfaedah seperti rokok dan minuman keras; Kini orang lebih bijak memilih bila membeli dan dan berhati-hati sebelum membeli sesuatu. Kini banyak orang membuat pertimbangan semasak-masaknya sebelum mau mengeluarkan wang ringgit mereka untuk membeli-belah; Kini keutamaan diberi kepada perkara-perkara yang asas dan benar-benar diperlukan seperti membeli makanan, pakaian, dan sebagainya. Selain daripada ini, orang juga kini menyimpan lebih wang daripada menggunakannya.
Apa yang jelas ialah orang kini lebih berhati-hati bila menggunakan wang mereka dan mengambil konsep berekonomi didalam hal berbelanja. Disamping mencari jalan untuk menambah wang pendapatan mereka dan mengurangkan pengaliran wang keluar mereka. Berikut adalah beberapa pedoman untuk mengurangkan wang keluar:
1.Bawa minuman dan makanan(tapau) bila pergi kerja; Kurangkan juga makan diluar rumah;
2.Tanam beberapa jenis sayuran dihalaman rumah anda; tanam kacang panjang, timun, cili, kangkung dan lain-lain jenis sayuran;
3.Jangan buat kolam renang.Buat kolam ikan dan pelihara ikan seperti talipia hitam dan sebagainya. (Sekarang ikan pun mahal-mahal.)
4.Kurangkan penggunaan kereta sendiri. Cuba buat perkiraan samaada memandu kereta sendiri ke tempat kerja lebih murah atau naik kenderaan awam misalnya bas atau mini bas bila pergi kerja. (Dulu kawan saya belanja RM10.00 setiap hari pergi kerja dengan kereta sendiri. Kini dia berbelanja RM3.00 pergi-balik. Keretanya biasanya dipakai pada hujung minggu sahaja bersama keluarganya.)
5.Jangan kuat belanja kawan. Bawa wang "ngam-ngam" bila mau jalan-jalan.
6.Jangan selalu sangat membeli pakaian. Kurangkan pembelian barang-barang yang berjenama dan mahal.
7.Belajarlah mengamalkan kehidupan yang sederhana(Live a simple life bah!).
8.Kalau anda merokok lebih baik berhenti. Kalau tak dapat secara serta-merta, berhentilah secara berperingkat-peringkat. Misalnya kurangkan satu batang setiap hari.
9.Kalau anda kuat berjudi dan gila 4-D atau main 4 ekor. Berhentilah! Dan simpanlah wang yang ingin anda pakai untuk membeli nombor kedalam bank.
10. Dan akhir sekali, untuk menambah pendapatan.....cuba-cubalah buka bisnes atau perniagaan secara kecil-kecilan. Misalnya kalau anda pakai kereta seorang ke pejabat. Carilah beberapa kawan untuk menjadi penumpang yang tetap yang membayar tambang kepadamu setiap bulan.
Dan akhir sekali. Ingatlah....meskipun ekonomi telah merosot, janganlah iman kepada Tuhan pun merosot pula! Kuatlah berpegang kepada pengajaran agama dan rajin-rajinlah berdoa. Banyakkan bersabar dan kuatkanlah iman kepada Tuhan. Amin.

Saturday, December 13, 2008

Macam-macam pedoman

01) Biarlah anda lupa segala-galanya tapi janganlah lupa Tuhan yang telah memberimu peluang hidup didunia ini. Berdoalah kepada-Nya dan pandai-pandailah memikat hati-Nya. Jangan asik aje memikat hal-hal duniawi.


02) Hari Krismas tak lama lagi, janganlah ingat pasal "beramai-ramai" saja tapi ingat-ingatlah beramai-ramai pergi sembayang.

03) Kata orang "Biarlah miskin asalkan bahagia" tetapi lebih baik menjadi kaya dan bahagia. Lagi pun..bukan mudah menjadi miskin dan bahagia didalam masa yang sama. He he he...

04) Kalau ada duit lebih, berjimat cermat lah didalam hal berbelanja. Jangan sudah kekurangan wang barulah berjimat-cermat. Terlambat dah tuu!

05) Nasi sudah menjadi bubur! Memang betul! Tapi ingatlah masih boleh dimakan bah tuu. Jestru itu, belajarlah sesuatu daripada setiap kesalahan atau kesilapan yang anda lakukan.

06) Jangan pisang berbuah dua kali! Tapi...kalau betul-betul dia berbuah dua kali ini adalah satu keuntungan besar dan satu mukjizat! Yang penting belajar daripada kesilapan.

07) Janji mestilah ditunaikan. Bagus! Tapi, memberi hutang wang tunai kepada orang lain biasanya hangus begitu saja. Jadi, hati-hatilah bila memberi pinjiman tunai kepada orang lain.

08) Kahwin seorang pun dah susah! Apa lagi kalau kahwin lebih daripada satu orang! Jadi, setialah kepada pasangan anda. Biarlah dialah satu-satunya didalam hidup mu.

09) Lebih baik meminjam wang untuk membuat atau membeli rumah daripada menyewa rumah. Kerana sampai bila-bila pun anda tak akan memiliki rumah sendiri. Yang ada hanya hati yang kecewa di hari tua.

10) Kalau main, jangan main-main. Kalau main-main lebih baik, jangan main. Jadi, kalau kahwin, kahwin bagus-bagus; Kalau kerja, kerja bagus-bagus; Kalau sekolah, belajar kuat-kuat; Kalau main sukan, main berabis! Tapi kalau minum, minum main-mainlah(Sikit-sikit lah....He he he..)

11) Kalau berkawan, berkawanlah dengan baik dan jujur. Janganlah ingat "mengawan" saja. Dan kalau dia menawan hatimu, tawanlah hatinya supaya kamu boleh menjadi kawan selama-lamanya melalui ikatan perkahwinan.

12) Janganlah marah-marah, nanti kena marah pulak. (Baru tau!)

13) Berhati-hatilah dengan kekasih yang memohon anda untuk membuktikan cintamu kepadanya dengan "menyentuh" tubuhmu. Ingatlah! Inilah cinta nafsu bukan cinta restu. Buang saja kekasih seperti ini! Ingat, bukan seekor ikan dilaut!

14) Kalau minum, minum juga... tapi janganlah menjadi peminum!

15) Makan, makan juga...Jadi, kalau makanan sedap, janganlah makan ikut sedap mulut saja. Makanlah ikut keperluan. Jaga-jagalah kesihatan badan.

Wednesday, October 15, 2008

Cinta adalah segala-galanya?


Banyak orang berkata bahawa Cinta adalah segala-galanya. Memang ada kebenaran ungkapan ini. Yaa...Cinta itu menghayalkan; Cinta itu menyatukan; Cinta itu membahagiakan; Cinta itu manis; Tapi....Cinta juga memusnahkan; Cinta juga menghancurkan; Cinta juga menyakitkan; Cinta juga memisahkan; Cinta juga kesengsaraan; Cinta itu pahit; Cinta juga boleh menjadikan seseorang menjadi gila dan lupa segala-galanya. Dan kerana cinta ada orang yang sanggup menipu, membunuh, lupa Tuhan, lupa keluarga. lupa isteri/suami dan anak-anak. Dan kerana cinta orang sanggup kehilangan segala-galanya demi mendapatkan cinta yang sejati dan tanpa memikirkan tentang apa yang dia lepaskan; Kerana cinta orang sanggup berkorban demi kebaikan orang lain. Yaaa....Cinta memang hebat! Sesungguhnya, cinta boleh mendatangkan berbagai-bagai kebaikan dan juga kejahatan. Jadi tak hairanlah jika ungkapan bahawa cinta adalah segala-galanya mempunyai kebenarannya tersendiri!

Sedarilah bahawa kita semua mampu mencintai. Sesungguhnya, kuasa mencintai itu ada ditangan kita masing-masing. Jadi, terserahlah kepada kita masing-masing untuk menggunakannya dengan baik atau tidak. Semoga kita semua menggunakan kuasa ini dengan baik dan iklas. Marilah membina cinta yang sejati dan yang membahagiakan diri kita dan kepada sesama dan membawa kemuliaan kepada Tuhan. Janganlah kita salah-gunakan kuasa ini nanti membawa padah kepada diri sendiri dan mengakibatkan kesusahan dan penderitaan kepada orang lain. Marilah kita mencintai diri kita, orang lain dan yang penting sekali Tuhan yang mencipta kita dengan cinta yang tulus iklas.

Wednesday, September 17, 2008

Suka, Sayang dan Cinta

Kita selaku manusia ciptaan Tuhan mempunyai kemampuan dan kebolehan menunjukkan perasaan kita dengan tiga cara. Pertama, perasaan suka: Perasaan ini biasanya ditujukkan kepada benda-benda dan tumbuhan-tumbuhan. Misalnya kereta, kasut, baju , bunga, gunung, bukit, pokok dan sebagainya. Kedua, perasaan sayang pula biasanya diajukan kepada binatang-binatang seperti burung, kuching, anjing, ikan, ayam dan sebagainya. Ketiga, perasaan cinta adalah khas ditujukan pertama sekali kepada Tuhan dan kedua kepada sesama manusia tanpa mengira jantina, bangsa, latarbelakang, warna kulit, kedudukan dan status seseorang.


Apabila perasaan ini tidak gunakan mengikut "kategorinya" maka, timbullah masalah seperti pergaduhan, permusuhan, prasangka, semburuh, dan marah. Misalnya didalam perkahwinan. Kalau suami terlalu mencintai keretanya daripada isterinya maka ini boleh menimbulkan cemburu atau pergaduhan. Sepatutnya, suami sukakan kereta dan isterinya pula dicintai. Ini bererti dia memberi perhatian yang lebih kepada isterinya dan bukannya kepada keretanya.



Demikian juga bila isteri terlalu cintakan kuching daripada suaminya. Maka, ini boleh menimbulkan masalah didalam perkahwinan. Sepatutnya isteri cintakan suami dan sayangkan kuching. Kalau disebaliknya, maka tak harianlah kalau suami sentiasa bermuka "asam" kerana isteri terlalu memberi perhatin yang lebih kepada kuchingnya daripada suaminya. Jadi, didalam hal ini isteri salah menggunakan perasaanya dan ini boleh mengakibatkan ketegang dan kerenggangan didalam perkahwinan.



Ada pula ibubapa terlalu cintakan kereta daripada anak mereka. Misalnya apabila anak terlibat didalam kemalangan. Dengan nada yang marah-marah mereka bertanya,"Itu kereta apa macam? Terukkah? Memik besarkah?" Sepatutnya, mereka tanya dululah pasal keadaan anak mereka dengan nada yang penuh perhatin sekali."Aduh! Aduh....kasihan....Jadi kau bagaimana? Ada luka-luka...? Tak apa itu kereta. Itu boleh bikin balik. Bah, lain kali berhati-hatilah..." Kalaulah begini sikap ibubapa, ini menunjukkan mereka cintakan anak mereka dan sukakan kereta.



Bagaimana pula dengan Tuhan? Adakah orang terlalu mencintai hal-hal duniawi sehingga tidak ada masa berdoa dan melakukan pengajaran Tuhan? Ada pula orang sanggup berkerja keras untuk mendapatkan lebih banyak wang sehingga mengabaikan kewajipan yang dituntut oleh agama yang dia anuti. Misalnya mereka tidak pergi sembayang pada hari Ahad kerana bekerja di kebun atau di sawah padi pada hari tersebut; Ada pula orang mengadakan majlis perkahwinan atau Keramaian pada hari Ahad. Sebab itu tak ke Gereja dan menyebabkan banyak umat tak ke Gereja untuk bersembayang gara-gara menghadiri Majlis Keramaian!



Sekarang, mari kita tanya diri kita sendiri: Apakah kita sering menempatkan perasaan kita ditempat yang salah? Adakah kita lebih mencintai barang-barang/hartabenda dan binatang-binatang, tumbuhan-tumbuhan daripada sesama manusia seperti adik-adik, abang, kakah, ibu, bapa, uncle, saudara-mara, dan kawan-kawan. Apakah kita lebih mencintai pekerjaan kita daripada ibubapa sendiri sehingga tak ada masa pulang ke kampung untuk melawat dan bersama-sama dengan mereka? Marilah sama-sama meluangkan masa dan merenung, samada cara kita meluahkan perasaan suka,sayang dan cinta itu kena pada tempatnya atau tidak. Kalau tidak marilah mengubah cara kita menggunakan perasaan kita dengan baik dan tepat. Sesungguhnya, cabaran kita didalam hidup ini adalah besar sekali. Kerana kebiasaan kita ialah lebih mencintai dan menyayangi benda-benda(harta-benda), tumbuhan, dan binatang ternakan daripada sesama manusia dan Tuhan. Jestru itu, marilah belajar untuk meluahkan perasaan isi hati dengan menunjukkan perasaan kita sesuai dengan kategorinya. Marilah kita belajar menyukai benda-benda dan hartabenda; menyayangi binatang-binatang dan tumbuhan-tumbuhan; dan mencintai sesama manusia dan sentiasa mencinta Tuhan lebih dari segala-galanya. Kerana Tuhan lah yang mencipta dan memberi kita kehidupan. Sebab itu, marilah mencintainya sepenuh hati kita dan sepanjang hidup kita. Amin.



Saturday, September 13, 2008

Pedoman membaca Alkitab


Alkitab adalah Firman Tuhan. Sebab itu, sangat penting sekali kita selaku orang yang beriman kepada Tuhan membacanya. Kerana kalau kita tidak membacanya maka, kita akan lupa pengajaran Tuhan yang terdapat didalam Alkitab. Jestru itu, adalah sangat baik jika kita membacanya setiap hari dan secara tetap. Berikut adalah beberapa panduan asas apabila membaca Alkitab:

01. Dapatkan senaskah Alkitab. Kerana kalau kita pinjam milik orang, ini mungkin akan menyebabkan aksi membaca Alkitab akan tergendala. Kerana pemiliknya juga mahu membacanya. Jadi dapatkan sebuah buku Alkitab sendiri;

02. Tetapkan masa yang sesuai untuk membacanya. Kalau jam 7.00 malam atau awal pagi misalnya jam 5.30 pagi sesuai sekali bagi anda untuk membaca Alkitab maka, jadikanlah masa ini sebagai masa yang tetap untuk anda membaca Alkitab.

03.Berdoalah sebelum membaca Alkitab. Mohonlah kekuatan batin dan fisikal daripada Tuhan agar anda dapat membaca Alkitab tanpa apa-apa gangguan;

04.Buka dan bacalah Alkitab.Jangan buka saja tetapi tidak membaca;

05. Hayati dan renunglah apa yang anda baca dari Alkitab.;

06. Buatlah resolusi atau satu plan tindakan bagaimana anda dapat melakukan didalam hidup anda sesuai dengan apa yang anda baca daripada Alkitab. Misalnya bacaan itu berkenaan dengan hal mengampuni. Fikirlah siapa yang telah menyakiti hatimu namun belum anda ampuni meskipun dia telah meminta pengampunan daripadamu. Maafkanlah orang berkenaan. Atau anda telah bersalah tetapi belum lagi meminta maafkan kepada orang yang anda sakiti. Pergilah kepadanya dan nyatakanlah penyesalanmu dan mohonlah kemaafan daripadanya;

07. Doa penutup:Sebelum menamatkan aktiviti rohani anda iaitu membaca, dan merenung Alkitab, akhirilah aktiviti ini dengan berterima kasih kepada Tuhan kerana FirmanNya yang anda terima dam mohonlah bantuan dan rahmat daripada Tuhan agar anda dapat melakukan apa yang diajar oleh Alkitab didalam kehidupanmu setiap hari.


Saudara dan saudari, berapa banyak kita baca setiap hari tidaklah begitu penting. Kerana yang penting ialah kita meluangkan sedikit masa untuk membaca Alkitab setiap hari. Janganlah terburu-buru didalam hal untuk membaca Alkitab sampai habis. Buatlah secara-cara beransur-ansur atau pelahan-lahan tetapi tetap membacanya setiap hari. Walau bagaiman pun jika anda dapat meluangkan masa yang lebih untuk membaca Alkitab terutama sekali pada hujung minggu(Sabtu dan Ahad) maka, lakukanlah. Lebih banyak masa maka, lebih banyaklah yang dibaca dan dengan itu misi anda untuk membaca Alkitab sampai habis akan tercapai dengan lebih cepat.


Harus diperingatkan, agara anda jangan putus asa sekiranya anda merasa malas, atau puas atau bosan apabila membaca Alkitab. Apa juga bentuk godaan atau halangan yang anda hadapi didalam misi membaca Alkitab, anggaplah semunya itu sebagai godaan dari setan dan iblis. Berdoalah kepada Tuhan dan pohonlah bantuan daripadaNya dan kuatkanlah semangatmu dan teruskanlah perjuangan mu sehingga BASAH! YA! Sehingga BASAH!(Bacalah Alkitab SAmpai Habis).Amin.

Thursday, September 4, 2008

Membenci atau mencintai

Membenci atau mencintai adalah dua pola kehidupan yang sentiasa bergolak didalam hidup kita. Kedua-duanya perlu kita perjuangkan didalam hidup kita agar kita lebih mencintai dan lebih mengampuni. Biasanya mencintai seseorang yang kita suka atau orang yang telah berbakti kepada diri kita, memang senang sekali mencintainya. Demikian juga dengan hal membenci dimana sangat mudah sekali membenci orang yang telah melukakan hati kita atau yang telah melakukan sesuatu yang buruk/jahat kepada diri kita atau orang yang memang kita tidak suka kerana ada sesuatu menyebabkan kita berbuat demikian secara sedar atau pun tidak.
Sedarkah kita bahawa apabila kita mencinta sesama manusia, kita dapat hidup dengan aman dan tenteram. Dan apabila kita membenci seseorang, kitalah yang merasa tertekan dan terbeban kerana jiwa kita tidak tenteram dan aman gara-gara membenci orang. Jadi, didalam hal ini, kita yang paling rugi apabila kita membenci orang. Dan kalau orang yang kita benci itu, sentiasa bersikap peramah dan baik kepada kita meskipun kita membencinya, kita akan merasa lebih tertekan dan merasa "kelang-kabut." Jiwa kita tidak tenang dan muka kita pula sentiasa "tegang." Kita sentiasa merasa ada "tension" didalam hati kita terutama sekali setiap kali bertemu dengan orang yang kita benci. Ini bererti apabila kita membenci, diri kita sendirilah yang paling rugi. Meskipun sifat kita itu mungkin berpatutan menurut kebiasaan duniawi kerana mungkin orang berkenaan telah melakukan sesuatu yang jahat kepada kita, namun kita tetapi berada dipihak yang "rugi dan kalah."
Sesungguhnya, sifat membenci menunjukkan kita masih bersifat seperti keanak-anakkan(childish) dan tiada ada kematangan didalam hidup sebagai seorang yang sudah dewasa atau tua.
Sebab itu, kalau orang lain bersalah kepada kita ampunilah mereka meskipun mereka mungkin tidak memohon maaf/ampun daripada kita. Dengan ini, kita dapat hidup tanpa apa-apa "tension" atau ketidak-tenteraman didalam jiwa kita. Dan kalau kita yang bersalah, beranikanlah diri untuk memohon ampun diatas kesalahan kita. Dan kalau orang itu tidak mengampuni kita, tidak usah bersusah hati lagi kerana kita dah meminta maaf. Kalau dia tidak ampunkan kesalahkan kita itu masallah dia. Yang penting kita dah meminta ampun.
Akhir sekali, marilah kita sama-sama berusaha untuk lebih menyayangi orang dan sentiasa mengenepikan perasaan membenci orang lain. Sebaiknya, sebagai manusia yang dicipta Tuhan, kita semua harus berusaha untuk lebih mencintai dan lebih mengampuni sesama orang tanpa mengira latarbelakang, agama, bangsa dan kedudukan seseorang. Dengan cara ini kita semua dapat hidup dengan aman dan harmoni. Disamping mendapat berkat daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Pengampun.Amin.