Thursday, September 4, 2008

Membenci atau mencintai

Membenci atau mencintai adalah dua pola kehidupan yang sentiasa bergolak didalam hidup kita. Kedua-duanya perlu kita perjuangkan didalam hidup kita agar kita lebih mencintai dan lebih mengampuni. Biasanya mencintai seseorang yang kita suka atau orang yang telah berbakti kepada diri kita, memang senang sekali mencintainya. Demikian juga dengan hal membenci dimana sangat mudah sekali membenci orang yang telah melukakan hati kita atau yang telah melakukan sesuatu yang buruk/jahat kepada diri kita atau orang yang memang kita tidak suka kerana ada sesuatu menyebabkan kita berbuat demikian secara sedar atau pun tidak.
Sedarkah kita bahawa apabila kita mencinta sesama manusia, kita dapat hidup dengan aman dan tenteram. Dan apabila kita membenci seseorang, kitalah yang merasa tertekan dan terbeban kerana jiwa kita tidak tenteram dan aman gara-gara membenci orang. Jadi, didalam hal ini, kita yang paling rugi apabila kita membenci orang. Dan kalau orang yang kita benci itu, sentiasa bersikap peramah dan baik kepada kita meskipun kita membencinya, kita akan merasa lebih tertekan dan merasa "kelang-kabut." Jiwa kita tidak tenang dan muka kita pula sentiasa "tegang." Kita sentiasa merasa ada "tension" didalam hati kita terutama sekali setiap kali bertemu dengan orang yang kita benci. Ini bererti apabila kita membenci, diri kita sendirilah yang paling rugi. Meskipun sifat kita itu mungkin berpatutan menurut kebiasaan duniawi kerana mungkin orang berkenaan telah melakukan sesuatu yang jahat kepada kita, namun kita tetapi berada dipihak yang "rugi dan kalah."
Sesungguhnya, sifat membenci menunjukkan kita masih bersifat seperti keanak-anakkan(childish) dan tiada ada kematangan didalam hidup sebagai seorang yang sudah dewasa atau tua.
Sebab itu, kalau orang lain bersalah kepada kita ampunilah mereka meskipun mereka mungkin tidak memohon maaf/ampun daripada kita. Dengan ini, kita dapat hidup tanpa apa-apa "tension" atau ketidak-tenteraman didalam jiwa kita. Dan kalau kita yang bersalah, beranikanlah diri untuk memohon ampun diatas kesalahan kita. Dan kalau orang itu tidak mengampuni kita, tidak usah bersusah hati lagi kerana kita dah meminta maaf. Kalau dia tidak ampunkan kesalahkan kita itu masallah dia. Yang penting kita dah meminta ampun.
Akhir sekali, marilah kita sama-sama berusaha untuk lebih menyayangi orang dan sentiasa mengenepikan perasaan membenci orang lain. Sebaiknya, sebagai manusia yang dicipta Tuhan, kita semua harus berusaha untuk lebih mencintai dan lebih mengampuni sesama orang tanpa mengira latarbelakang, agama, bangsa dan kedudukan seseorang. Dengan cara ini kita semua dapat hidup dengan aman dan harmoni. Disamping mendapat berkat daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Pengampun.Amin.

No comments: