Showing posts with label Mencintai. Show all posts
Showing posts with label Mencintai. Show all posts

Wednesday, September 17, 2008

Suka, Sayang dan Cinta

Kita selaku manusia ciptaan Tuhan mempunyai kemampuan dan kebolehan menunjukkan perasaan kita dengan tiga cara. Pertama, perasaan suka: Perasaan ini biasanya ditujukkan kepada benda-benda dan tumbuhan-tumbuhan. Misalnya kereta, kasut, baju , bunga, gunung, bukit, pokok dan sebagainya. Kedua, perasaan sayang pula biasanya diajukan kepada binatang-binatang seperti burung, kuching, anjing, ikan, ayam dan sebagainya. Ketiga, perasaan cinta adalah khas ditujukan pertama sekali kepada Tuhan dan kedua kepada sesama manusia tanpa mengira jantina, bangsa, latarbelakang, warna kulit, kedudukan dan status seseorang.


Apabila perasaan ini tidak gunakan mengikut "kategorinya" maka, timbullah masalah seperti pergaduhan, permusuhan, prasangka, semburuh, dan marah. Misalnya didalam perkahwinan. Kalau suami terlalu mencintai keretanya daripada isterinya maka ini boleh menimbulkan cemburu atau pergaduhan. Sepatutnya, suami sukakan kereta dan isterinya pula dicintai. Ini bererti dia memberi perhatian yang lebih kepada isterinya dan bukannya kepada keretanya.



Demikian juga bila isteri terlalu cintakan kuching daripada suaminya. Maka, ini boleh menimbulkan masalah didalam perkahwinan. Sepatutnya isteri cintakan suami dan sayangkan kuching. Kalau disebaliknya, maka tak harianlah kalau suami sentiasa bermuka "asam" kerana isteri terlalu memberi perhatin yang lebih kepada kuchingnya daripada suaminya. Jadi, didalam hal ini isteri salah menggunakan perasaanya dan ini boleh mengakibatkan ketegang dan kerenggangan didalam perkahwinan.



Ada pula ibubapa terlalu cintakan kereta daripada anak mereka. Misalnya apabila anak terlibat didalam kemalangan. Dengan nada yang marah-marah mereka bertanya,"Itu kereta apa macam? Terukkah? Memik besarkah?" Sepatutnya, mereka tanya dululah pasal keadaan anak mereka dengan nada yang penuh perhatin sekali."Aduh! Aduh....kasihan....Jadi kau bagaimana? Ada luka-luka...? Tak apa itu kereta. Itu boleh bikin balik. Bah, lain kali berhati-hatilah..." Kalaulah begini sikap ibubapa, ini menunjukkan mereka cintakan anak mereka dan sukakan kereta.



Bagaimana pula dengan Tuhan? Adakah orang terlalu mencintai hal-hal duniawi sehingga tidak ada masa berdoa dan melakukan pengajaran Tuhan? Ada pula orang sanggup berkerja keras untuk mendapatkan lebih banyak wang sehingga mengabaikan kewajipan yang dituntut oleh agama yang dia anuti. Misalnya mereka tidak pergi sembayang pada hari Ahad kerana bekerja di kebun atau di sawah padi pada hari tersebut; Ada pula orang mengadakan majlis perkahwinan atau Keramaian pada hari Ahad. Sebab itu tak ke Gereja dan menyebabkan banyak umat tak ke Gereja untuk bersembayang gara-gara menghadiri Majlis Keramaian!



Sekarang, mari kita tanya diri kita sendiri: Apakah kita sering menempatkan perasaan kita ditempat yang salah? Adakah kita lebih mencintai barang-barang/hartabenda dan binatang-binatang, tumbuhan-tumbuhan daripada sesama manusia seperti adik-adik, abang, kakah, ibu, bapa, uncle, saudara-mara, dan kawan-kawan. Apakah kita lebih mencintai pekerjaan kita daripada ibubapa sendiri sehingga tak ada masa pulang ke kampung untuk melawat dan bersama-sama dengan mereka? Marilah sama-sama meluangkan masa dan merenung, samada cara kita meluahkan perasaan suka,sayang dan cinta itu kena pada tempatnya atau tidak. Kalau tidak marilah mengubah cara kita menggunakan perasaan kita dengan baik dan tepat. Sesungguhnya, cabaran kita didalam hidup ini adalah besar sekali. Kerana kebiasaan kita ialah lebih mencintai dan menyayangi benda-benda(harta-benda), tumbuhan, dan binatang ternakan daripada sesama manusia dan Tuhan. Jestru itu, marilah belajar untuk meluahkan perasaan isi hati dengan menunjukkan perasaan kita sesuai dengan kategorinya. Marilah kita belajar menyukai benda-benda dan hartabenda; menyayangi binatang-binatang dan tumbuhan-tumbuhan; dan mencintai sesama manusia dan sentiasa mencinta Tuhan lebih dari segala-galanya. Kerana Tuhan lah yang mencipta dan memberi kita kehidupan. Sebab itu, marilah mencintainya sepenuh hati kita dan sepanjang hidup kita. Amin.



Thursday, September 4, 2008

Membenci atau mencintai

Membenci atau mencintai adalah dua pola kehidupan yang sentiasa bergolak didalam hidup kita. Kedua-duanya perlu kita perjuangkan didalam hidup kita agar kita lebih mencintai dan lebih mengampuni. Biasanya mencintai seseorang yang kita suka atau orang yang telah berbakti kepada diri kita, memang senang sekali mencintainya. Demikian juga dengan hal membenci dimana sangat mudah sekali membenci orang yang telah melukakan hati kita atau yang telah melakukan sesuatu yang buruk/jahat kepada diri kita atau orang yang memang kita tidak suka kerana ada sesuatu menyebabkan kita berbuat demikian secara sedar atau pun tidak.
Sedarkah kita bahawa apabila kita mencinta sesama manusia, kita dapat hidup dengan aman dan tenteram. Dan apabila kita membenci seseorang, kitalah yang merasa tertekan dan terbeban kerana jiwa kita tidak tenteram dan aman gara-gara membenci orang. Jadi, didalam hal ini, kita yang paling rugi apabila kita membenci orang. Dan kalau orang yang kita benci itu, sentiasa bersikap peramah dan baik kepada kita meskipun kita membencinya, kita akan merasa lebih tertekan dan merasa "kelang-kabut." Jiwa kita tidak tenang dan muka kita pula sentiasa "tegang." Kita sentiasa merasa ada "tension" didalam hati kita terutama sekali setiap kali bertemu dengan orang yang kita benci. Ini bererti apabila kita membenci, diri kita sendirilah yang paling rugi. Meskipun sifat kita itu mungkin berpatutan menurut kebiasaan duniawi kerana mungkin orang berkenaan telah melakukan sesuatu yang jahat kepada kita, namun kita tetapi berada dipihak yang "rugi dan kalah."
Sesungguhnya, sifat membenci menunjukkan kita masih bersifat seperti keanak-anakkan(childish) dan tiada ada kematangan didalam hidup sebagai seorang yang sudah dewasa atau tua.
Sebab itu, kalau orang lain bersalah kepada kita ampunilah mereka meskipun mereka mungkin tidak memohon maaf/ampun daripada kita. Dengan ini, kita dapat hidup tanpa apa-apa "tension" atau ketidak-tenteraman didalam jiwa kita. Dan kalau kita yang bersalah, beranikanlah diri untuk memohon ampun diatas kesalahan kita. Dan kalau orang itu tidak mengampuni kita, tidak usah bersusah hati lagi kerana kita dah meminta maaf. Kalau dia tidak ampunkan kesalahkan kita itu masallah dia. Yang penting kita dah meminta ampun.
Akhir sekali, marilah kita sama-sama berusaha untuk lebih menyayangi orang dan sentiasa mengenepikan perasaan membenci orang lain. Sebaiknya, sebagai manusia yang dicipta Tuhan, kita semua harus berusaha untuk lebih mencintai dan lebih mengampuni sesama orang tanpa mengira latarbelakang, agama, bangsa dan kedudukan seseorang. Dengan cara ini kita semua dapat hidup dengan aman dan harmoni. Disamping mendapat berkat daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Pengampun.Amin.

Saturday, August 9, 2008

Yang terpenting sekali

Pernahkah anda berfikir atau bertanya apa yang terpenting sekali didalam hidup ini? Bila difikirkan secara meluas memang banyak sekali yang penting didalam hidup: Keluarga, kereta, handphone, duit, kawan, saudara-mara, pelajaran, pakaian, kad kredit, kasut, komputer, sukan, hobi, makanan, minuman, kebun, tanah, rumah, harta, pangkat, gaji, busniess, kesihatan, pekerjaan, holiday, alam sekitar, buku, binatang, boyfriend/girlfriend dan banyak lagilah! Memang banyak sekali yang penting didalam hidup ini kerana terlalu banyak pilihan. Kadang-kadang kita merasa bingung, malah pening kepala untuk membuat keputusan. Dan adakalanya kita mendapat apa yang kita inginkan, tetapi tidak lama selepas itu, kita merasa tidak puas hati pula. Kerana ada modal yang terbaru dan lebih canggih pula! Maka bermulalah "kegilaan" baru. Kita mahu memiliknya dan merasa seolah-olah tidak happy kalau tidak dapat memilikinya. Ini menyebabkan hidup kita tak tenteram dan kacau-kacir. Perlukan kita melayan perasaan seperti ini setiap kali kita inginkan sesuatu?

Pada pemdapat saya, kita mestilah bersifat munasabah dan rasional didalam hal membuat pilihan. Kita mesti sedar bahawa bukan semua benda atau perkara yang kita inginkan dapat kita miliki. Kerana bukan semuanya mampu kita miliki dan bukan semua hal atau perkara dapat dibeli dengan wang! Meskipun kebanyakan benda boleh dibeli tapi bukan semua. Misalnya kita boleh membeli katil, tempat tidur yang cantik dan mahal. Tetapi "tidur" kita tidak dapat beli dengan wang ringgit. Demikian juga dengan obat-obat boleh kita beli apabila sakit, tetapi "kesembuhan" atau badan yang sihat, tidak dapat dibeli. Tapi, memilih cara hidup yang sihat dapat kita lakukan, jika kita mahu. Jadi, didalam hidup ini kita harus membuat pilihan yang bijak dan memastikan apa yang kita pilih itu memang penting sekali. Jangan terlalu banyak membuat pilihan sehingga perkara-perkara yang lebih penting atau perkara yang terpenting sekali diabaikan begitu saja. Sebab itu, luangkanlah masa untuk berfikir dan merenung sedalam-dalamnya: "Apakah yang terpenting sekali didalam hidup?"

Bagi saya, perkara yang terpenting sekali iaitu TUHAN. Hal ini tidak boleh kita pinggirkan dan abaikan. Sebab itu, kita mesti tumpuhkan perhatian sepenuhnya dan bersikap serious didalam hal ini. Kerana suatu hari nanti kita akan mati dan kembali kepada Tuhan. Sebab itu, Tuhan mestilah berada ditangga yang teratas sekali didalam senarai keutamaan kita. Dialah yang pertama dan yang terpenting sekali didalam hidup kita. Kemudian, hal-hal yang lain yang penting dan diperlukan ialah yang dinamakan Perkara perkara yang asas didalam hidup iaitu: Makanan, Pakaian dan Rumah. Tetapi ini perlu diperkembangkan sedikit sebab itu Kesihatan badan dan Keluarga mestilah dimasukkan sekali. Kerana kalau badan kita tidak sihat, bagaimana pula melakukan perkara-perkara yang asas dan lain-lain perkara yang mungkin tidak begitu penting tetapi diperlukan juga didalam hidup? Sebab itu, jagalah kesihatan badan; Dan aspek keluarga pula, janganlah sekali-kali diabaikan, nanti rosak dan hancur pula keluarga! Sebab itu, perkara ini juga haruslah diutamakan supaya sebuah keluarga yang aman dan bahagia serta beriman kepada Tuhan dapat dibina dan dikekalkan.

Sebagai, kesimpulan perkara yang terpenting sekali didalam hidup ialah Tuhan; dan perkara-perkara lain yang penting dan utama ialah Makanan, Pakaian, Pakaian, Kesihatan badan dan Keluarga. Perkara-perkara yang lain-lain bolehlah dianggap sebagai "sampingan dan penyeri" didalam kehidupan yang mungkin diperlukan tetapi tidaklah begitu penting jika dibandingkan dengan perkara-perkara yang asas didalam kehidupan. Tetapi, didalam segala hal dan didalam apa juga keadaan Tuhan mestilah selalu dan tetap bertakta didalam hati kita yang terpenting sekali didalam hidup kita selaku manusia yang dicipta oleh Tuhan. Jestru itu, janganlah kita silap membuat pilihan. Pilillah yang terbaik dan tempatkanlah Tuhan yang terutama dan terpenting sekali didalam hidup. Kerana perkara inilah yang akan memastikan kebahagian abadi dan keselamatan bagi kita di suatu hari nanti. Sementara itu, hal-hal lain seperti kekayaan dan harta duniawai sebanyak mana pun mampu kita miliki, tidak akan dapat menjamin kebahagian hidup kita di suatu masa akan datang.
Sebenarnya, segala-gala yang kita miliki didalam hidup adalah tidak pasti. Misalnya wang yang beribu-ribu dan harta yang bertimbun-timbun. Semua in akan kita tinggalkan suatu hari ini. Ia bukan milik kita selama-lamanya. Dan, hanya satu yang pasti iaitu KEMATIAN! Yaa...suatu hari nanti saya akan mati, anda juga akan mati dan mereka juga akan mati. Kita semua akan meninggalkan dunia ini. Sebab itu, marilah mengutamakan Tuhan dan menempatkanNya yang terpenting sekali didalam hidup kita supaya apabila kita mati, Tuhan akan berkata kepada kita," Terima kasih kerana menjadikan saya yang terpenting sekali didalam hidupmu semasa hidup didunia. Sekarang, silakan masuk ke dalam Surga." Amin!

Tuesday, October 9, 2007

Perkahwian tanpa anak


Tuesday, September 25, 2007

Memang menjadi impian setiap pasangan suami-isteri untuk mendapatkan anak setelah berkahwin. Namun bukan semua apa yang dirancang dan diingini dapat dicapai. Kerana didalam hal mendapatkan anak, ini adalah diluarkuasa pasangan suami-isteri. Kerana ada suami yang tidak dapat menghamilkan isterinya dan ada pula isteri yang tidak dapat hamil. Hakikat ini memang susah untuk diterima dan boleh menimbulkan kekecewaan. Kerana dirasakan bahawa tanpa anak perkahwinan itu seolah-olah tidak lengkap. Ya...memang benar "something is missing" tetapi perlukan pasangan bersedih sepanjang hidup mereka hanya kerana tidak ada anak hasil daripada darah dan daging mereka sendiri? Perlukan suami atau isteri dipersalahkan didalam suatu hal yang diluarkuasanya untuk menjayakannya? Perlukan marah kepada Tuhan? Atau bukankah lebih baik bersifat positif dan berfikir secara luas?


Sesungguhnya disebalik "kekurangan dan masalah" ada hikmatnya. Sebab itu, jangan terlalu melihat aspek yang negatif kerana tidak mempunyai anak sendiri. Tetapi, lihatlah apa kelebihan dan kebaikan perkahwinan tanpa anak. Berikut adalah beberapa kebaikannya. Pertama, Pasangan suami-isteri boleh bermesra tanpa gangguan tangisan atau jeritan anak. Kedua, hidup pasangan suami-isteri bebas dari "beban" yang berat seperti menghantar anak ke sekolah. Ketiga, perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan tidak begitu banyak. Keempat, pasangan boleh menyimpan lebih banyak wang untuk keperluan hari tua dan untuk "enjoy-enjoy" seperti pergi melancung ke luar negara dan sebagainya. Kelima, tidak perlu membina rumah yang terlalu besar. Bina saja rumah yang sederhana sahaja supaya kos memelihara rumah tak begitu tinggi. Keenam, wang yang sepatutunya disimpan untuk belanja persekolahan anak dapat digunakan untuk tujuan lain memberi memberi bantuan atau derma kepada orang yang susah, badan-badan kebajikan, kepada ahli keluarga yang memerlukan, membantu orang miskin dan sebagainya. Ketujuh, peluang untuk mengambil "anak angkat". Ini juga bererti peluang untuk melakukan kebajikan dan kebaikan kepada anak yang memerlukan bantuan. Walau bagaimana pun perkara ini bukanlah sesuatu yang dimestikan. Ini terserahlah kepada hasil perbincangan dan keputusan bersama suami-isteri.


Jadi, jika difikirkan secara waras dan rasional memang banyak juga kebaikan jika tidak mempunyai anak disebabkan oleh penyakit atau kekurangan salah seorang daripada pasangan suami-isteri. Sebab itu, berbahagialah dan tumpuhkanlah hidup bersama-sama sebagai pasangan suami-isteri yang "bebas, bujang dan bahagia" kerana tidak ada anak.
Harus disedari dan diingat bahawa tujuan utama didalam perkahwinan adalah HIDUP BAHAGIA BERSAMA-SAMA DIDALAM NAMA TUHAN dan bukannya untuk mendapatkan anak. Ini adalah perkara kedua, kerana bukan semua pasangan diberi kurnia oleh Tuhan untuk mendapatkan anak. Pasangan suami-isteri dapat hidup bahagia bersama-sama meskipun tidak mempunyai anak sendiri.


Sesungguhnya, apabila suami atau isteri dapat hidup dengan aman dan bahagia dengan pasanganya meskipun tanpa anak, ini membuktikan betapa besar, suci dan luhur cintanya kepada pasangannya. Kerana cintanya tidak mengenal batas atau syarat. Cintanya tetap dan tidak berubah meskipun ada kekurangan dan kelemahan. pasangannya. Inilah yang dimaksudkan keagungan dan kebesaran cinta!


Cinta seperti ini dapat dilihat seperti Tuhan yang mencintai setiap manusia dimana ia menurunkan hujan, baik kepada orang baik dan kepada orang jahat. Demikan juga matahari yang bersinar bukan saja kepada orang-orang baik tetapi juga kepada orang-orang yang jahat. Kerana cintakasih Tuhan tidak dapat dikalahkan atau dibatasi oleh kelemahan dan kekurangan manusia; Dosa tidak dapat menlenyapkan cinta Tuhan kepada umat manusia. Jestru itu, cintakasih pasangan suami-isteri kepada seseama janganlah dikurangi atau dibatasi gara-gara tidak mendapat anak sendiri. Sebab itu, cintailah pasanganmu dan hiduplah aman dan bahagia didalam perkahwinan dengannya demi kemuliaan dan keagungan Tuhan yang Maha Esa. Mencintailah seperti Tuhan mencintai umatnya. Amin. Selamat berbahagia sampai ke akhir zaman!

Thursday, September 20, 2007

Cinta...

Cinta adalah anugerah Tuhan yang paling istimewa kepada setiap manusia. Kita semua mempunyai keupayaan untuk mencintai, dicintai dan bercinta. Siapa yang kita cintai dan bagaimana kita mencintai, ini adalah bergantung kepada beberapa faktor. Sejauh mana kita mencintai adalah terserah kepada kita untuk menentukannya. Tetapi pada amnya cara untuk mencintai itu ada empat cara. Pertama, Mencintai Sebab/Kerana: Cinta ini menekankan mengapa seseorang itu mencintai seseorang. "Saya cinta padamu sebab kau baik; Saya cinta padamu kerana mukamu yang ayuh; Saya cinta kepadamu sebab kau canitk." Jadi, cinta jenis ini bergantung kepada "sebab atau kerana" sebagai alasan untuk mencintai. Ini bererti orang yang mencintai cara ini tidak dapat mencintai sekiranya tidak ada yang menarik atau berguna yang menyebabkannya untuk mencintai. "Sebab" itu mesti ada. Kalau tidak ada "Sebab" maka cinta juga tidak ada.
Cuba kita lihat diri kita sendiri, bukankan kita sering mencintai seperti ini? Sedarkan kita bahawa mencintai cara ini adalah tidak baik? Kerana cinta jenis ini meletakkan syarat mengapa ia mencintai. Sebab itu, kita harus berusaha supaya dapat mencintai sesama insan tanpa sebab atau syarat. Kita mencintai seseorang seperti apa yang ada pada dirinya. Ini bererti kita mencintai tanpa dipengaruhi oleh apa-apa sebab dan kita tidak mengenakan apa syarat atau sebab untuk mencintai seseorang. Kerana cinta tanpa syarat adalah cinta yang iklas, murni dan sempurna.

Kedua, Mencintai Kalau: Cinta jenis ini mengutamakan apa yang saya dapat dulu. Apa keuntungan atau kebaikan yang saya dapat dahulu sebelum mencintai orang berkenaan. Ini bererti ia membalas cinta seseorang berdasarkan kepada kepentingan diri sendiri. Inilah yang dinamakan cinta yang paling teruk! Cinta ini bukan saja mementingkan syarat, tetapi ianya jelas sekali mementingkan diri sendiri. Orang yang mengamalkan cinta jenis ini memang tamak sekali. Kalau syarat itu tidak diikut maka cintanya tidak ada. "Bah! Kalau kau benar-benar cinta padamu, benarkanlah saya menciummu!; Kalau kau bantu saya, barulah saya sayang padamu; kalau kau baik dengan saya, maka saya pun akan berlaku baik kepadamu." Jadi, apa yang jelas cinta jenis ini ialah syarat harus dipenuhi dahulu barulah ada cinta.
Marilah kita tanya pada diri sendiri. Adakah kita selalu mencintai cari ini. Kalau jawapannya ialah YA, maka kita harus keluar daripada kebiasaan mencintai cara ini. Kerana cinta jenis ini tidak baik. Jestru itu, kita mesti belajar mencintai tanpa meletakkan apa-apa syarat dahulu. Jadi, janganlah kita amalkan cinta jenis ini. Kerana cinta jenis bukan saja tidak adil dan berat sebelah tetapi ianya juga jelas menunjukkan "ketamakan" diri kita sendiri.
Ketiga, Mencintai Terpaksa: Cinta jenis ini biasanya diamalkan kerana termakan budi kepada orang berkenaan. "Saya terpaksa menerimanya dan setuju berkahwin dengannya kerana dialah yang membantu keluarga saya selama ini; Saya terpaksa menerima cintanya kerana dialah yang membayar segala perbelanjaan saya semasa bersekolah dulu. Saya terpaksa mengikut kehendaknya kerana dia adalah boss saya; Saya terpaksa bersikap baik kepadanya kerana dia seorang YB." Apa yang jelas dengan mencintai cara inilah, cinta jenis ini tidak jujur dan tidak iklas. Pendek kata, cinta ini tidak sempurna.
Mari kita bertanya kepada diri sendiri, Bukankah kita sering juga mengamalkan cinta cara ini?
Sekiranya, kita selalu mencintai mengikut cara ini, marilah berusaha agar kita dapat mencintai dengan iklas dan jujur dan bukan kerana terpaksa mencinta. tetapi, sungguh-sungguh mencintai tanpa terikat kepada apaapa syarat atau dipengaruhi oleh sesuatu.
Keempat, Mencintai Walaupun/Meskipun: Cinta jenis ini adalah cinta yang murni dan sempurna. Kerana pengamalnya tidak meletakkan apa-apa syarat didalam hal mencintai. Dan cintanya juga tidak bergantung kepada faktor "sebab atau kerana." Kerana cintanya adalah iklas dan jujur. Ia tidak mengharapkan apa-apa. Ia tetap mencintai meskipun orang yang dia cintai itu mempunyai kelemahan, kekurangan dan kesalahan. Cintanya tidak dipengaruhi oleh apa-apa faktor atau sebab. Ia tetap mencintai walaupun ada yang terjadi. " Cintaku padamu tetap seperti dulu walaupun kau telah berlaku curang kepadaku; Aku tetap sayang kepadamy meskiun kau telah mungkir janji; Cintaku kepadamu tidak bergantung kepada kecantikan atau kekayaanmu." Aku cinta padamu walaupun kau tidak ada apa-apa. Aku mencintaimu seperti seadanya dirimu."
Sesungguhnya, inilah yang dikatakan mencintai tanpa batas dan tanpa syarat. Inilah jenis cinta yang harus kita pejuangkan didalam hidup kita setiap hari. Marila kita berusaha agar kita sentiasa dapat mencintai seperti ini kepada sesama dan lebih-lebih lagi kepada Tuhan yang Maha Esa.


Dari ketiga-tiga jenis cinta yang disebutkan tadi, marilah tanya diri kita masing-masing dimanakah kedudukan kita. Dimanakah kecenderungan hati kita? Dimanakan letaknya cinta kita kepada sesama manusia dan kepada Tuhan yang Maha Esa. Apakah kita sering sekali mencintai berdasarkan kepada "Sebab atau Kalau atau Walaupun." Jawapannya terletak ditangan kita sendiri. Sekiranya, kita terlalu mengamalkan cinta jenis "sebab dan kalau" maka, kita harus berusaha dengan gigih untuk memperjuangkan cinta "Walaupun" agar ianya menjadi amalan kita setiap hari. asih Kita perlu berusaha dan memperjuangakan cinta yang murni dan suci ini. Semoga kita tidak mudah berputus asa didalam memperjuangkan cinta ini.
Saudara dan saudari, marilah menjauhkan cinta yang bersyarat iaitu cinta jenis"Sebab dan Kalau." Marilah kita belajar mencintai seperti Tuhan, Pencipta kita. Kerana DIA menurunkan hujan dan menyinarkan matahari kepada semua orang termasuklah kepada orang-orang yang jahat dan lalim. Sesungguhnya, cinta yang sempurna ini harus kita perjuangkan didalam hidup kita agar ianya menjadi pegangan dan amalan kita setiap hari dan sepanjang hidup kita. Amin.