Saturday, October 25, 2008

Pergi ke mana pada hari Ahad?

Apakah keutamaan kita pada hari Ahad? Memang pada hari Ahad kita ada banyak perkara yang kita boleh buat kerana hari ini adalah cuti. Ini bererti kita boleh mengatur secara bebas apa yang ingkin kita lakukan pada hari berkenaan. Pilihan memang banyak: Pergi jalan-jalan makan angin bersama-sama dengan kawan atau dengan ahli keluarga; Pergi main futsal; main badminton; main golf; pergi memancing; pergi piknik di pantai; melawat rumah kawan atau ahli keluarga; pergi ke kebun; memotong rumput; membersihkankan dalam dan luar rumah; mencuci kereta; pergi memburu di hutan; jumpa daling atau pergi berdating; menonton wayang; main bowling; relax sambil membaca buku dan menonton TV; pergi makan; pergi gotong-royong; dan lain-lain. Pendek kata banyak yang kita boleh buat pada hari Ahad terutama sekali aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan keperluan, keseronokan, dan hal-hal duniawi. Semuanya dapat kita lakukan tanpa banyak masalah. Dan memang baik menggunakan masa yang ada untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan dan ianya berguna serta berfaedah. Bagaimana dengan keperluan rohani yang berkaitan dengan Tuhan?

Semua perkara atau aktiviti duniawi boleh dilakukan pada hari Ahad tetapi kita mestilah melakukannya menurut kepentingan dan keutamaanya. Jadi, sebagai orang Kristian, keutama kita yang penting seklai pada hari Ahad ialah pergi ke Gereja untuk bersembayang bersam-sama dengan umat Kristian yang lain. Inilah tanggungjawap yang penting sekali yang perlu kita tunaikan pada Hari Ahad. Hari Tuhan harus kita hiasi dengan indah dan dengan lebih bermakna. Ini bererti keutamaan kita yang terpenting sekali pada hari Ahad ialah pergi sembayang di Gereja dulu. Selepas itu bolehlah kita melakukan aktiviti-aktivit yang lain yang perlu dilakukan sesuai dengan kepentingannya.


Sebagai contoh: 1) Kalau ada kawan menjemput anda pergi ke majlis perkahwinan pada jam 12.00 tengah-hari. Bah! pergi dulu sembayanglah. Jangan awal-awal lagi sudah pergi rumah orang/ Tidak malukah? ; 2) Kalau ada kawan yang menjemput kita pergi jalan-jalan ke supermarket pada jam 8.00 pagi dan masa ini adalah masa bersembayang di Gereja, anda janganlah takut memberitahu kawan anda dengan baik bahawa anda hanya dapat datang bersama-sama dengannya kerana mau pergi ke Gereja dulu. Kalau kawan anda mengusik,"Wah kau nii holy-holy ahh!" Jawap saja dengan tenang," Saya orang banyak dosa, itulah mau rajin-rajin pergi Gereja. Harap-harap Tuhan ampun dosa-dosa saya. Oh ya! Salahkah mau jadi orang holy?"(He he he....); 3)Pertandingan futsal/bolasepak bermula jam 9.00 pagi dan ini juga adalah masa Team anda main. Apa yang perlu dibuat? Ada banyak pilihan: a) Pergi sembayang pada hari Sabtu, Misa Sunset. Biasanya paa jam 5.00/6.00 pm; b) Pergi sembayang sebelah petang. Misalnya 5.00/6.00 p.m. C) Pergi sembayang awal lagi. Misalnya jam 7.00 am. 4)Ada orang mati: Orang mati takkan lari. Jadi sempat lagi pergi sembayang bah! Lepas tu barulah pergi tengok orang mati. 5) Ada gotong-royong di kampung bermula pada jam 8.00 a.m; siapa tak datang akan dikenakan denda RM10.00/RM20.00 dan masa sembayang di Gereja pun jam 8.00 am. Dua-dua pun penting tetapi pergi sembayang lebih penting. Jadi, bayar saja itu denda dan pergilah sembayang. Tapi, kalau boleh dirunding. Cadangkan supaya gotong-royong itu tidak dikenakan pada hari Ahad pagi. Cadangkan pada hari lain atau pada hari Ahad sebelah petang.


Kata orang,"Dimana ada kemahuan disitu ada jalan." Sebab itu, kalau kita benar-benar ada kemahuan untuk pergi ke Gereja pada hari Ahad, kita dapat pergi jika kita berikan keutamaan yang terpenting sekali pada hari tersebut. Jestru itu, marilah kita tetapkan bahawa pada hari Ahad, keutamaan kita yang pertama sekali sebelum melakukan perkara-perkara yang lain ialah pergi ke Gereja untuk bersembayang. Ok? Bah, Selamat pergi ke Gereja pada Hari Ahad, Hari Tuhan yang Kudus. Amin.


Wednesday, October 15, 2008

Cinta adalah segala-galanya?


Banyak orang berkata bahawa Cinta adalah segala-galanya. Memang ada kebenaran ungkapan ini. Yaa...Cinta itu menghayalkan; Cinta itu menyatukan; Cinta itu membahagiakan; Cinta itu manis; Tapi....Cinta juga memusnahkan; Cinta juga menghancurkan; Cinta juga menyakitkan; Cinta juga memisahkan; Cinta juga kesengsaraan; Cinta itu pahit; Cinta juga boleh menjadikan seseorang menjadi gila dan lupa segala-galanya. Dan kerana cinta ada orang yang sanggup menipu, membunuh, lupa Tuhan, lupa keluarga. lupa isteri/suami dan anak-anak. Dan kerana cinta orang sanggup kehilangan segala-galanya demi mendapatkan cinta yang sejati dan tanpa memikirkan tentang apa yang dia lepaskan; Kerana cinta orang sanggup berkorban demi kebaikan orang lain. Yaaa....Cinta memang hebat! Sesungguhnya, cinta boleh mendatangkan berbagai-bagai kebaikan dan juga kejahatan. Jadi tak hairanlah jika ungkapan bahawa cinta adalah segala-galanya mempunyai kebenarannya tersendiri!

Sedarilah bahawa kita semua mampu mencintai. Sesungguhnya, kuasa mencintai itu ada ditangan kita masing-masing. Jadi, terserahlah kepada kita masing-masing untuk menggunakannya dengan baik atau tidak. Semoga kita semua menggunakan kuasa ini dengan baik dan iklas. Marilah membina cinta yang sejati dan yang membahagiakan diri kita dan kepada sesama dan membawa kemuliaan kepada Tuhan. Janganlah kita salah-gunakan kuasa ini nanti membawa padah kepada diri sendiri dan mengakibatkan kesusahan dan penderitaan kepada orang lain. Marilah kita mencintai diri kita, orang lain dan yang penting sekali Tuhan yang mencipta kita dengan cinta yang tulus iklas.

Saturday, October 11, 2008

Makan apa saja?

Didalam hal yang berkaitan dengan makanan tanda-tanya berikut perlukan jawapan : Apa tujuan makan? Apa yang boleh dimakan? Bila boleh makan? Dimana boleh makan? Berapa kali makan didalam sehari?

Tujuan makan: Pada amnya ada dua sebab mengapa kita makan. 1: Lapar bah!; Merasa lemas dan tak bertenaga, jadi kita makan supaya kuat dan bertenaga lagi untuk melakukan apa saja perkerjaan yang perlu kita buat; 2:Untuk terus hidup kerana kalau tak makan-cepatlah mati! Tapi, kita mesti ingat bahawa kita hidup bukan untuk makan.

Yang boleh dimakan: Secara am, apa saja boleh dimakan asalkan ianya baik dan selamat dimakan. Jadi, janganlah makan makanan yang boleh membahayakan kesihatan dan menyebabkan penyakit seperti makanan yang beracun, basi atau tamat tempoh untuk dimakan. Dan kalau dari segi agama ada halangan supaya tidak memakan makanan yang dianggap haram menurut pengajaran agama yang anda anuti maka, ikutilah pengajaran tersebut. Jadi, janganlah makan makanan yang haram!

Bila boleh makan? Ahh….bila-bila saja bah! Tapi jangan pula sikit-sikit makan. Jadi, makanlah mengikut kebiasaan semua orang iaitu makan pagi, tengah-hari, dan petang/malam.

Makan dimana? Dimana-mana pun boleh asalkan mutu kebersihan makanan itu terjamin. Tapi biasanya baiklah kalau makan dirumah bersama-sama dengan ahli keluarga sendiri. Walau bagaimana pun baik juga kadang-kadang tuu makan diluar rumah samaada bersama-sama dengan ahli keluarga atau dengan kawan-kawan atau dengan orang lain yang dikenali.

Berapa kali makan? Bah! Ini ikut keperluan tapi janganlah berkali-kali makan didalam sehari. Kerana ini boleh memudaratkan kesihatan badan. Jadi, biasanya makan tiga kali seharilah. Selain daripada itu boleh juga menjamu selera secara ringan sebelum makan tengah hari dan makan petang.

Akhir sekali ada pedoman am mengenai makan: 1.Jangan makan berlebihan nanti berat badan bertambah dan menjadi terlalu gemuk pula.;2.Jangan terlalu makan makanan yang berminyak, dan yang masin-masin serta yang manis-manis. Kerana dari segi kesihatan ini tak baik. Nanti dapat penyakit darah tinggi, kencing manis, masalah jantung dan sebagainya. Jadi makanlah sesuai dengan keperluan dan jangan berlebih-lebihan didalam hal makan. 3: Jangan lupa makan banyak sayur-sayur dan buah-buahan. 4. Kalau mau kurangkan berat badan, kurangkan pengambilan daging dan nasi. Dan jangan lupa buat bersenaman atau bersukan sekurang-kurang tiga puluh minit setiap hari. Jadi, sebagai kesimpulan, pandai-pandailah kita menjaga kesihatan badan. Jangan asik makan saja menurut sedap mulut. Nanti sakit gara-gara terlalu makan, sendiri juga yang susah. Ingat-ingatlah, sakit itu tidak sedap!

Wednesday, October 1, 2008

Hal Minum


Semua orang minum dan pandai minum. Kerana perkara ini bukanlah perkara yang susah sangat untuk dibelajari. Budak-budak kecil pun dah pandai. Malah pandai membuat minuman sendiri! Minuma apa? Sudah tentu susu yang menjadi kegemaran mereka nombor satu!
Dikalangan golongan remaja pula “soft drinks” atau minuman ringan adalah favorite mereka seperti Coca-cola, Oren, Sprite dan sebagainya; Orang-orang dewasa dan tua pula hebat-hebat! Maca-macam mereka minum! Yang kasih pening kepala atau minuman yang beralkohol yang boleh memabukkan pun mereka minum. Tapi orang-orang muda tak ketinggalan, ada juga diantara mereka berani meminum minuman ini. Mau tunjuk jaguhkah? Anak jantan gitulah!
Persoalan kita ialah: “Bolehkah meminum minuman keras?” Secara perbadi, jawapan saya ialah “Tidak dan Boleh.” Walau bagaimanpun ini mengikut keadaan, masa dan agama: 1) Tidak boleh: Sebagai contoh, misalnya didalam keadaan sakit, janganlah minum minuman keras, nanti bertambah sakit pula; Dimasa kerja, janganlah minum, nanti kerja tak siap; Atau ketika memandu kenderaan, tidak bolehlah minum, nanti dapat kemalangan; Dan dari sudut agama, Janganlah minum jika agama yang anda dianuti itu melarang minum minuman keras. Ikuti pengajaran agama anda dengan setia. Kalau tak ikut buat apa menjadi anggota agama berkenaan! Kalau mahu minum juga, mungkin baik difikir-fkirkan untuk memilih agama yang lain dimana perkara ini dibenarkan secara sederhana dan tidak dilarang sepenuhnya
2) Boleh minum: Misalanya didalam majlis-majlis Perkahwinan atau Keramaian. Tetapi secara sederhana dan tidak keterlaluan supaya kemabukan akibat minuman keras dapat dielakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa meminum minuman keras secara berlebihan adalah tidak baik. Kerana ini boleh mengakibatkan berbagai keburukan, penyakit dan masalah. Walau bagaimanpun, meminumnya secara sederhana memang ada kebaikannya tersendiri seperti ia boleh memanaskan badan yang sejuk dan memeriahkan susanan serta merancakkan perbualan.
Peringatan bagi mereka yang pandai minum: Janganlah terlalu meminum minuman keras, kurangkanlah pengambilan minuman ini dan banyakkan meminum air biasa yang tidak berbisa! Tapi, jangan juga terlampau meminum air, nanti perut boleh jadi kembung macam perut ikan buntal!
Kepada yang pandai minum sikit-sikit: Bagus! Kerana anda pandai mengawal diri dan ada displin didalam hal ini. Tapi, jangan naikkan “pangkat” kepada “tahi minum. Nanti cepat mangkat(mati)!
Kepada yang belum pandai: Boleh cuba kerana tidak salah minum sikit-sikit saja. Tapi kalau tak pandai jaga diri, bagus tak mencubanya!
Kepada yang tidak meminum: Syabas! Tapi, jangan mengumpat dan memandang rendah orang yang pandai minum. Kalau kamu fikir , kamu itu alim, janganlah bersifat “zalim” kepada mereka yang pandai minum.
Oppsss….satu lagi. Ini untuk semua kita, janganlah kita terlalu meminum minuman yang manis-manis, nanti manis-manis itu kaki, kena potong pula gara-gara kena penyakit kencing manis. Dan pasal racun? Jangan sekali-kali disentuh barang ini, nanti bersentuhan itu mata dan kaki-MATI! Jadi, sebagai kesimpulan, apa juga kita minum, Berdisplinlah! JANGAN terlampau didalam hal meminum. Apa saja kita minum, PANDAI-PANDAILAH jaga diri dan kesihatan badan masing-masing. Nanti sakit-sakit, sendiri juga yang menderita dan menyusahkan orang pula tuu! Jestru itu, berhati-hatilah didalam hal minuman.

Monday, September 22, 2008

Godaan

Pernahkah anda digoda? Siapa yang mengoda? seorang yang terpikat dengan anda? Ah! Ini godaan biasalah! Orang yang mengoda anda ada hati denganmu. Ini bukan jahat. Bagaimana dengan anda sendiri, pernahkah anda cuba-cuba mengoda seseorang yang anda minati? Tujuan anda baikkan? Mau dia suka padamu! Ini hanyalah godaan biasa saja. Tetapi apa yang ingin saya bicarakan ialah Godaan yang sebenarnya iaitu godaan yang datang daripada setan dan iblis!


Para setan dan iblis ini sentiasa berusaha mengoda kita dengan tujuan yang sangat jahat sekali. Mereka mengoda kita supaya kita menjauhkan Tuhan yang telah mencipta kita; Mereka tidak mahu kita mengikuti pengajaran Tuhan; Mereka mahu kita masuk ke dalam neraka bukan kedalam Surga; Mereka mahu supaya kita tidak percaya kepada Tuhan; Mereka mahu kita mengikuti kehendak mereka. Inilah maktlamat mereka apabila mengoda kita. Sebab itu, mereka ini paling suka mengoda orang-orang yang rajin berdoa dan setia kepada Tuhan. Orang-orang seperti inilah yang menjadi sasaran mereka. Jadi, kalau didalam kehidupan anda sebagai orang yang beriman kepada Tuhan sentiasa mengalami berbagai-bagai godaan yang hebat-hebat maka, janganlah hairan kerana setan memang suka mengoda orang-orang yang kuat imanya. Seperti yang dikatakan oleh St.Teresa Avila," Jangan kamu sangka bahawa para setan dan iblis itu akan tidur nyenyak apabila kiamu berusaha menjadi orang yang kudus dan setia kepada Tuhan. Mereka akan melipat-gandakan usaha mereka untuk mengoda kamu supaya kamu jatuh kedalam dosa. " Meskipun pun beginilah realiti dan kenyataan hidup orang-orang beriman tetapi jangan berganjak dan jangan mengalah kepada setan dan iblis. Teruskan perjuangan melawan godaan mereka sampai bila-bila masa.



Ingatlah, kita boleh mengatasi godaan setan dan iblis. Bagaimana? Berikut adalah beberapa langkah-langkahnya: 1) Menyembah dan setia kepada Tuhan: Sembahlah dan setialah kepada Tuhan setiap hari. Peganglah semua pengajaranNy dengan setia. Jangan lalai nanti mudah diperdaya oleh setan dan iblis. 2) Taat berdoa: Rajin-rajinlah berdoa setiap hari dan bila ada godaan berdoalah untuk memohonlah bantuan daripada Tuhan; 3) Baca Alkitab: Rajin-rajinlah membaca dan menghayati pengajaran Tuhan yang terdapat didalam Alkitab dan lakukan didalam kehidupan setiap hari; 4) Hindarilah perkara-perkara yang kotor dan jahat. Jangan libatkan diri didalam hal-hal yang bertentangan dan dilarang oleh Tuhan and agama; 5) Elakkan pergaulan dengan orang-orang yang tidak dan kurang percaya kepada Tuhan; 6) Jangan bertolak-ansur atau komporomi didalam hal-hal yang jahat dan dosa; 7) Jauhilah tempat-tempat yang boleh menyebabkan kita berdosa.



Sesungguhnya, dengan bersandar kepada Tuhan dan berbekal dengan semangat yang kuat serta disiplin yang tinggi, kita mampu dan boleh MELAWAN godaan setan dan iblis. Jangan kita tunduk kepada godaan dan pujukan, dan rayuan mereka. Walau bagaimana manis dan cantik sekali pun, lawanlah! Jangan biarkan diri kita diperdaya dan dipengaruhi. Kuatkan semangat dan ingatlah hukuman yang menanti kita diakhir hidup kita, jika kita mengikut kehendak mereka. Dan ingatlah "ganjaran" yang lebih indah dan cantik serta lebih yang besar dan bermakna iaitu kehidupan didalam Surga dan kehidupan kekal bersama-sama dengan Tuhan sedia menanti kita seandainya, kita setia dan mengikuti kehendak Tuhan dengan rendah hati sampai akhir hidup kita didunia ini. Ingatlah, suatu hari nanti kita akan kembali kepada Tuhan yang akan mengadili perbuatan dan cara kehidupan kita semasa didunia.



Sekali pandang, memang janji dan godaan setan dan iblis lebih menarik dan menawan hati tetapi hakikatnya adalah kesusahan dan kesengsaraan hidup diakhir zaman dan kemungkian besar akan menjadi penghuni neraka. Kerana, "upah dosa ialah maut." Sementara itu, menjadi orang yang beriman, kudus dan setia kepada Tuhan memang sangat mencabar malah payah dan susah tetapi berbaloi. Kerana kehidupan yang lebih indah dan cantik sedia menanti kita. Jadi, marilah kita memilih yang terbaik demi kehidupan yang aman dan bahagia selama-lamanya.



Saudara dan saudari, marilah melawan apa juga jenis dan bentuk godaan setan dan iblis. Lawan habis-habisan biarpun sampai kehabisan nyawa. Yang penting tidak jatuh kedalam dosa dan tetap setia kepada Tuhan. Janganlah berkawan dengan mereka nanti binasa hidup kita. Marilah berkawan dengan Tuhan agar kita selama didunia dan diakhirat nanti. Sebab itu, marilah menjadi umatNya yang setia dan kudus dengan mencintailah Tuhan sepenuh hati kita dan sepanjang hidup kita . Dan sentiasa melawan godaan setan dan iblis. Amin.



Wednesday, September 17, 2008

Suka, Sayang dan Cinta

Kita selaku manusia ciptaan Tuhan mempunyai kemampuan dan kebolehan menunjukkan perasaan kita dengan tiga cara. Pertama, perasaan suka: Perasaan ini biasanya ditujukkan kepada benda-benda dan tumbuhan-tumbuhan. Misalnya kereta, kasut, baju , bunga, gunung, bukit, pokok dan sebagainya. Kedua, perasaan sayang pula biasanya diajukan kepada binatang-binatang seperti burung, kuching, anjing, ikan, ayam dan sebagainya. Ketiga, perasaan cinta adalah khas ditujukan pertama sekali kepada Tuhan dan kedua kepada sesama manusia tanpa mengira jantina, bangsa, latarbelakang, warna kulit, kedudukan dan status seseorang.


Apabila perasaan ini tidak gunakan mengikut "kategorinya" maka, timbullah masalah seperti pergaduhan, permusuhan, prasangka, semburuh, dan marah. Misalnya didalam perkahwinan. Kalau suami terlalu mencintai keretanya daripada isterinya maka ini boleh menimbulkan cemburu atau pergaduhan. Sepatutnya, suami sukakan kereta dan isterinya pula dicintai. Ini bererti dia memberi perhatian yang lebih kepada isterinya dan bukannya kepada keretanya.



Demikian juga bila isteri terlalu cintakan kuching daripada suaminya. Maka, ini boleh menimbulkan masalah didalam perkahwinan. Sepatutnya isteri cintakan suami dan sayangkan kuching. Kalau disebaliknya, maka tak harianlah kalau suami sentiasa bermuka "asam" kerana isteri terlalu memberi perhatin yang lebih kepada kuchingnya daripada suaminya. Jadi, didalam hal ini isteri salah menggunakan perasaanya dan ini boleh mengakibatkan ketegang dan kerenggangan didalam perkahwinan.



Ada pula ibubapa terlalu cintakan kereta daripada anak mereka. Misalnya apabila anak terlibat didalam kemalangan. Dengan nada yang marah-marah mereka bertanya,"Itu kereta apa macam? Terukkah? Memik besarkah?" Sepatutnya, mereka tanya dululah pasal keadaan anak mereka dengan nada yang penuh perhatin sekali."Aduh! Aduh....kasihan....Jadi kau bagaimana? Ada luka-luka...? Tak apa itu kereta. Itu boleh bikin balik. Bah, lain kali berhati-hatilah..." Kalaulah begini sikap ibubapa, ini menunjukkan mereka cintakan anak mereka dan sukakan kereta.



Bagaimana pula dengan Tuhan? Adakah orang terlalu mencintai hal-hal duniawi sehingga tidak ada masa berdoa dan melakukan pengajaran Tuhan? Ada pula orang sanggup berkerja keras untuk mendapatkan lebih banyak wang sehingga mengabaikan kewajipan yang dituntut oleh agama yang dia anuti. Misalnya mereka tidak pergi sembayang pada hari Ahad kerana bekerja di kebun atau di sawah padi pada hari tersebut; Ada pula orang mengadakan majlis perkahwinan atau Keramaian pada hari Ahad. Sebab itu tak ke Gereja dan menyebabkan banyak umat tak ke Gereja untuk bersembayang gara-gara menghadiri Majlis Keramaian!



Sekarang, mari kita tanya diri kita sendiri: Apakah kita sering menempatkan perasaan kita ditempat yang salah? Adakah kita lebih mencintai barang-barang/hartabenda dan binatang-binatang, tumbuhan-tumbuhan daripada sesama manusia seperti adik-adik, abang, kakah, ibu, bapa, uncle, saudara-mara, dan kawan-kawan. Apakah kita lebih mencintai pekerjaan kita daripada ibubapa sendiri sehingga tak ada masa pulang ke kampung untuk melawat dan bersama-sama dengan mereka? Marilah sama-sama meluangkan masa dan merenung, samada cara kita meluahkan perasaan suka,sayang dan cinta itu kena pada tempatnya atau tidak. Kalau tidak marilah mengubah cara kita menggunakan perasaan kita dengan baik dan tepat. Sesungguhnya, cabaran kita didalam hidup ini adalah besar sekali. Kerana kebiasaan kita ialah lebih mencintai dan menyayangi benda-benda(harta-benda), tumbuhan, dan binatang ternakan daripada sesama manusia dan Tuhan. Jestru itu, marilah belajar untuk meluahkan perasaan isi hati dengan menunjukkan perasaan kita sesuai dengan kategorinya. Marilah kita belajar menyukai benda-benda dan hartabenda; menyayangi binatang-binatang dan tumbuhan-tumbuhan; dan mencintai sesama manusia dan sentiasa mencinta Tuhan lebih dari segala-galanya. Kerana Tuhan lah yang mencipta dan memberi kita kehidupan. Sebab itu, marilah mencintainya sepenuh hati kita dan sepanjang hidup kita. Amin.



Monday, September 15, 2008

Beriman, percaya dan jahat.


Kebanyakan orang menyatakankan bahawa mereka percaya kepada Tuhan. Ini memanglah tidak dapat kita nafikan. Masalahnya, banyak orang yang tidak mempraktis atau menghidupi agama yang mereka anuti. Pengajaran agama, mereka tidak ikut sepenuh hati. Realiti ini atau perkara ini membawa kita berfikir bahawa kita boleh mengkategorikan manusia yang percaya kepada Tuhan kepada tiga kumpulan: Beriman, Percaya dan Jahat.



1) Beriman: Ini adalah orang-orang yang rajin dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan dan sentiasa berusaha menghidupi apa yang diajar oleh agama yang ikutinya. Sebab itu, mereka sentiasa bersifat baik, rajin berdoa, menjauhkan kejahatan, iklas dan jujur. Mereka juga suka membantu orang-orang yang susah dan miskin. Mereka juga peramah dan tidak sombong, boleh diharap dan dipercayai; sabar, tidak pemarah, pengampun, tidak tamak, perhatin, dermawan, Tidak menipu dan beretika/bermoral didalam apa juga mereka lakukan didalam kehidupan mereka. Malah mereka sanggup berkorban demi kebaikan dan kepentingan orang lain. Mereka juga rajin pergi ke Gereja atau Rumah Ibadat untuk bersembayang disana bersama-sama dengan umat yang lain. Semunya dilakukan demi kemuliaan Tuhan dan bukan untuk kepentingan diri sendiri. Walau bagaimana pun, mereka yang berada didalam kategori ini haruslah terus berusaha memelihara dan mempertahankan cara kehidupan mereka yang baik ini. Kalau tidak, mereka mungkin akan terjatuh dan menjadi orang yang kurang baik. Sebab itu, ketaatan dan kecekalan hati utuk berdoa adalah penting sekali agar cara kehidupan mereka ini dapat dipertahankan dengan baik.



2) Percaya: Ini agdalah golongan orang yang percaya kepada Tuhan tetapi tidak mengikuti pengajaran agama yang mereka ikuti sepenuh hati. Boleh dikatakan 50/50. Itulah sebabnya orang yang berada didalam kategori ini jarang sekali berdoa, kadang-kadang melakukan kejahatan juga tetapi tidaklah terlalu teruk. Misalnya mereka melakukan kejahatan secara kecil-kecilan seperti mencuri kertas ditandas awam/pejabat dan dibawa pulang, mencuri duit secara kecil-kecilan; malas ke Gereja atau Rumah Ibadat, jarang-jarang berdoa, tidak begitu sabar, agak pemarah, dan kadang-kadang berbohong dan ada masanya tak begitu jujur dan iklas didalam menjalankan tugas. Ini adalah beberapa sifat orang yang berada didalam kategori ini. Golongan ini, bertobat bukanlah masalah besar. Bagi mereka bertobat adalah agak mudah jika mereka mahu berubah kepada kehidupan yang lebih baik. Tetapi, jika mereka terlalu sayang dengan cara kehidupan mereka ini maka, mereka akan terus berada didalam kategori ini sampai selama-lamanya.



3) Jahat: Ini adalah orang-orang yang ada tanda-tanda kepercayaan kepada Tuhan tetapi malas sekali memparktis apa yang mereka percayai. Jadi, tak hairanlah kalau mereka malas berdoa dan "takut melakukan kebaikan" tetapi dengan berani melakuakan kejahatan demi kepentingan diri sendiri. Misalnya menipu orang untuk mendapatkan keuntungan diri sendiri; pembohong, melakukan maksiat dan kejahatan. Mereka ini masih ada harapan untuk bertobat jika mereka berkerja keras untuk mengubah cara kehidupan mereka kepada yang lebih baik. Kerana mereka belum lagi jatuh kedalam kategori "setan atau Iblis." Jadi, masih ada harapan untuk bertobat dan kembali kepada Tuhan. Kalau mereka mahu bertobat, mereka boleh melakukannya tetapi harus berusaha keras untuk mencapainya dan memohon bantuan daripada orang lain agar mereka tabah didalam perjalanan mereka untuk menjadi manusia yang lebih baik.


Sekarang, marilah bertanya kepada diri kita masing-masing:"Saya ini berada dimana? Beriman? Percaya? Aatau Jahat? Jawapannya ditangan kita sendiri. Dimana juga kategori kita, pandai-pandailah kita mengurus diri agar lebih diberkati Tuhan dan beroleh kebahagian yang sejati apabila kita kembali kepada PENCIPTA kita. Amin.


Saturday, September 13, 2008

Pedoman membaca Alkitab


Alkitab adalah Firman Tuhan. Sebab itu, sangat penting sekali kita selaku orang yang beriman kepada Tuhan membacanya. Kerana kalau kita tidak membacanya maka, kita akan lupa pengajaran Tuhan yang terdapat didalam Alkitab. Jestru itu, adalah sangat baik jika kita membacanya setiap hari dan secara tetap. Berikut adalah beberapa panduan asas apabila membaca Alkitab:

01. Dapatkan senaskah Alkitab. Kerana kalau kita pinjam milik orang, ini mungkin akan menyebabkan aksi membaca Alkitab akan tergendala. Kerana pemiliknya juga mahu membacanya. Jadi dapatkan sebuah buku Alkitab sendiri;

02. Tetapkan masa yang sesuai untuk membacanya. Kalau jam 7.00 malam atau awal pagi misalnya jam 5.30 pagi sesuai sekali bagi anda untuk membaca Alkitab maka, jadikanlah masa ini sebagai masa yang tetap untuk anda membaca Alkitab.

03.Berdoalah sebelum membaca Alkitab. Mohonlah kekuatan batin dan fisikal daripada Tuhan agar anda dapat membaca Alkitab tanpa apa-apa gangguan;

04.Buka dan bacalah Alkitab.Jangan buka saja tetapi tidak membaca;

05. Hayati dan renunglah apa yang anda baca dari Alkitab.;

06. Buatlah resolusi atau satu plan tindakan bagaimana anda dapat melakukan didalam hidup anda sesuai dengan apa yang anda baca daripada Alkitab. Misalnya bacaan itu berkenaan dengan hal mengampuni. Fikirlah siapa yang telah menyakiti hatimu namun belum anda ampuni meskipun dia telah meminta pengampunan daripadamu. Maafkanlah orang berkenaan. Atau anda telah bersalah tetapi belum lagi meminta maafkan kepada orang yang anda sakiti. Pergilah kepadanya dan nyatakanlah penyesalanmu dan mohonlah kemaafan daripadanya;

07. Doa penutup:Sebelum menamatkan aktiviti rohani anda iaitu membaca, dan merenung Alkitab, akhirilah aktiviti ini dengan berterima kasih kepada Tuhan kerana FirmanNya yang anda terima dam mohonlah bantuan dan rahmat daripada Tuhan agar anda dapat melakukan apa yang diajar oleh Alkitab didalam kehidupanmu setiap hari.


Saudara dan saudari, berapa banyak kita baca setiap hari tidaklah begitu penting. Kerana yang penting ialah kita meluangkan sedikit masa untuk membaca Alkitab setiap hari. Janganlah terburu-buru didalam hal untuk membaca Alkitab sampai habis. Buatlah secara-cara beransur-ansur atau pelahan-lahan tetapi tetap membacanya setiap hari. Walau bagaiman pun jika anda dapat meluangkan masa yang lebih untuk membaca Alkitab terutama sekali pada hujung minggu(Sabtu dan Ahad) maka, lakukanlah. Lebih banyak masa maka, lebih banyaklah yang dibaca dan dengan itu misi anda untuk membaca Alkitab sampai habis akan tercapai dengan lebih cepat.


Harus diperingatkan, agara anda jangan putus asa sekiranya anda merasa malas, atau puas atau bosan apabila membaca Alkitab. Apa juga bentuk godaan atau halangan yang anda hadapi didalam misi membaca Alkitab, anggaplah semunya itu sebagai godaan dari setan dan iblis. Berdoalah kepada Tuhan dan pohonlah bantuan daripadaNya dan kuatkanlah semangatmu dan teruskanlah perjuangan mu sehingga BASAH! YA! Sehingga BASAH!(Bacalah Alkitab SAmpai Habis).Amin.

Tuesday, September 9, 2008

BASAH!


Pernahkah anda BASAH akibat terkena hujan? Saya pasti banyak diantara kita sudah mengalaminya. Basah kerana gara-gara tidak ada payung semasa hujan lebat. Tetapi didalam renungan hari ini, ini tidak ada kaitan dengan hujan. Apa yang dimaksudkan dengan slogan BASAH ialah "Bacalah Alkitab SAmpai Habis!" Ini adalah satu cabaran dan seruhan.


Setiap orang yang menganuti sesuatu agama mempunyai Kitab Suci. Bagi orang Kristian, Kitab Sucinya ialah Alkitab. Apakah anda sudah memiliki senaskah Alkitab? Kalau belum, sila dapatkan senaskah. Kumpul-kumpullah duit dan dapatkan satu naskah supaya anda berpeluang untuk membaca dan merenungnya dan seterusnya melakukan didalam kehidupan anda sesuai dengan apa yang diajar oleh Tuhan yang terdapat didalam Alkitab. Dan seterusnya sambutlah cabaran BASAH!


Kalau anda dah ada Alkitab. Pernahkah anda mengalami BASAH? Maksudnya membaca Alkitab sampai habis. Kalau belum, cuba mulakan aksi membaca Alkitab secara konsisten atau secara tetap tanpa gagal. Ini bererti membaca Alkitab setiap hari sehinggalah habis membaca keseluruhannya.


Banyak orang berfikir bahawa Alkitab itu terlalu tebal dan susah untuk dibaca sampai habis. Sebab itu mereka tawar hati atau putus asa untuk membacanya. Janganlah bersikap begini. Kerana perjalanan seribu kilometer bermula dengan satu langkah. Demikian juga dengan membaca Alkitab. Misi untuk membacanya sampai habis bermula dengan membaca mukasurat yang pertama atau bab yang pertama. Sebab itu mulakanlah projek anda: Membaca Alkitab sampai habis. Ini mungkin memerlukan masa yang agak panjang. Mungkin satu atau dua tahun baru siap. Tetapi jangan putus asa. Mulakan dan teruskan...Kalau ada tetap membaca dan membaca lebih banyak mungkin didalam masa antara tiga sehingga enam bulan dah siap membacanya!


Membaca Alkitab sampai habis bukanlah suatu perkara yang mustahil. Ini ada didalam genggaman kita. Apa yang penting ialah memulakannya. Sebab itu, jika anda berwawasan untuk membaca Alkitab sampai habis, mulakanlah pembacaan anda pada hari ini. Jangan tangguh-tangguhkan keinginan anda.


Tidak perlu membaca terlalu banyak setiap hari. Saya cadangkan anda membaca diantara satu sehingga lima bab sehari sahaja. Walau bagaimana pun anda boleh membaca lebih daripada itu sesuai dengan masa yang anda ada. Mungkin pada hari-hari biasa(Isnin -Jumaat) baca sekurang-kurangnya satu bab tetapi pada hujung minggu(Sabtu-Ahad) baca lebih sedikit kerana ada banyak masa. Cuti kerja bah! Jadi bacalah banyak sikit.


Sebenarnya, berapa bab anda baca setiap hari tidaklah begitu penting. Apa yang penting ialah dispilin dan kegigihan untuk membaca Alkitab setiap hari. Ini yang penting iaitu semangat untuk membacanya setiap hari tanpa gagal. Jestu itu, bacalah Alkitan setiap hari sehinggalah anda mengalami BASAH! Selamat membaca Alkitab, Firman Tuhan. Amin.

Friday, September 5, 2008

Cemerlang, Gemilang, Terbilang tetapi "Temberang!"

Manusia pada amnya memang pandai kerana boleh memperlajari bermacam-macam kemahiran didalam hidup seperti memasak nasi, mengoreng ikan, memperbaiki kerosakan didalam rumah, memperbaiki kereta, menanam bunga/sayur/padi/buah-buahan, membina rumah, menoreh getah, mencuci kain, membaca buku sehingga cemerlang didalam peperiksaan, mengikuti berbagai-bagai jenis kursus dan sebagainya. Pendek kata, kita memang pandai didalam banyak hal. Malah ada yang kita pelajari melalui usaha sendiri dan tanpa petunjuk daripada orang lain. Kita mampu memperhati kerja orang lain lalu menirunya dengan melakukan sendiri seperti memasak nasi, menukar tayar kereta, menanam bunga dan sebagainya.
Dari segi pelajaran, kita boleh berusaha untuk mencapai kejayaan ke peringkat yang tinggi sehingga bergelar graduan universiti atau orang terpelajar(educated man/woman). Selepas itu berjaya didalam kerjaya kita dengan gaji/pendapatan yang sangat lumayan sehingga mampu memiliki kereta yang mewah, barang-barang yang berjenama dan mahal, rumah besar, melancung ke luar negara, hobi yang mahal dan wang yang bertimbun-timbun! Maklumlah bergelar "orang kaya-kaya." Yaaaa........inilah yang dikatakan memiliki kehidupan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Walau bagaimanapun, kadang-kandang tuu, kepandaian yang dimiliki kita salahgunakan atau tidak digunakan sebaik-baiknya. Misalnya, ada orang yang memiliki kereta yang mahal yang berharga melebihi RM50,000 ribu keatas tetapi, cukai jalan(Road tax) tak dibayar. Dan yang lebih teruk, ada orang yang kaya-kaya memandu kereta yang mahal-mahal dimana kereta berkenaan berharga melebihi RM200,000 ribu tetapi membayar yuran parking RM0.20 sen pun mau dielakkan sehinggga tanpa malu-malu meletakkan kereta mereka ditempat-tempat yang ada papan tanda" No Parking." (Macam tidak pandai baca.) Inilah yang dikatakan ada kekayaan tetapi luki dan kedekut; Dan ada kepandaian tetapi tidak digunakan sebaik mungkin. Mungkin inilah yang dikatakan hidup "Temberang"-Suka Berbohong dan Tidak jujur. Pendek kata, "PANDAI TETAPI BODOH!"
"Jangan buang sampah dimerata-rata tempat. Gunakan tong sampah." Ada tong sampah yang berdekat tetapi tidak digunakan.; "Jangan merokok" Tetapi, merokok pula di tempat berkenaan atau dekat dengan tanda "Jangan Merokok".; Dah tahu tahi ayam itu bau, tetapi bau hidu juga sebelum dicuci!; Dah lampu merah, tetapi jalan juga! Dah sakit-sakit baru mula jaga-jaga kesihatan tetapi semasa sihat tak pula jaga diri! Esok ujian baru mati-matian belajar(patutlah lingkup!). Orang nak sayang-sayang tak mahu, jual mahal. Tapi bila ditinggalkan, menangis pula!; Semasa ibu atau bapa masih hidup ditinggal-tinggalkan. Bila dah meninggal dunia, mayat ditahan-tahan tidak mahu ditinggalkan!; Memandu kereta macam pemandu F1. Bila dah "accident" menyesal bukan kepalang. Kenapa tak amalkan "biar lambat asalkan sampai dengan selamat" semasa memandu kereta? Dah tahu cili tuu pedas, dimakan juga. Bila kepedasan, "Celaka! cili ni pedas betul!"; Ini pula melucukan, Orang dah terlantar di hospital, ditanya lagi "Kau sakitkah?" Soalan bodoh. Tanyalah,"kau sakit apa?" Barulah manasabah; Tinggi pelajaran tetapi perangi macam orang tak pernah ke sekolah; Dan ada juga orang yang tinggi pelajaran dan hidung pun tinggi! Ini tak berapa menghairankanlah. Tapi, buat apa sombong-sombong? Suatu hari nanti semuanya berakhir ditanah perkuburan juga. Sebab itu, baiklah seperti padi, semakain berisi semakin tunduk ke tanah. Janganlah kita bersikap sombong bila dah berjaya didalam hidup. Kerana didunia mungkin kita berjaya tetapi belum tentu kita berjaya bila kita mati dan memasuli dunia yang baru. Sebab itu, amalkanlah kerendah-hati kepada sesama an lebih-lebih lagi kepada Tuhan yang Maha Esa. Marilah kita sama beringat, setinggi-tinggi burung terbang akhirnya akan jatuh ke tanah juga-mati. Demikan juga dengan hidup kita, setinggi mana pun kejayaaan kita, akhirnya kita akan kembali kepada tanah-mati dan dikuburkan.
Sesungguhnya, bila kita fikir-fikirkan, ragam manusia memang ada macam-macam dan ada pula yang buat macam-macam yang bukan saja memalukan diri sendiri dan menjatuhkan maruah diri sendiri malah menyusahkan orang lain termasuk ahli-ahli keluarga dan saudara-mara. Cemerlang tetapi "trouble-maker"
Yaa.... manusia memang lucu dan aneh! Pendek kata, memang ada manusia yang pandai tetapi bodoh. Kata orang, "Ada otak tapi tidak dipakai." Nah! Sekarang marilah kita tanya diri sendiri apa kita kadang-kadang atau selalu juga bersifat seperti ini. Kalau jawapan kita YA. Bah! Pandai-pandailah kita ubah perangai. Jangan takut dan malu berubah. Kalau jawapannya TIDAK, Bah! Pandai-pandailah kita "maintain" atau jaga perangi. Akhir sekali, marilah gunakan kepandaian dan kemahiran yang kita miliki dengan baik. Bukan saja untuk kebaikan diri sendiri tetapi juga untuk sesama manusia. Jangan salahguna nanti memakan diri sendiri. Kerana ini akan membawa padah dan keburukan bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Jadi, marilah mengamalkan konsep kehidupan yang "Cemerlang, Gemilang, Terbilang dan TIDAK Temberang! He he he...

Thursday, September 4, 2008

Membenci atau mencintai

Membenci atau mencintai adalah dua pola kehidupan yang sentiasa bergolak didalam hidup kita. Kedua-duanya perlu kita perjuangkan didalam hidup kita agar kita lebih mencintai dan lebih mengampuni. Biasanya mencintai seseorang yang kita suka atau orang yang telah berbakti kepada diri kita, memang senang sekali mencintainya. Demikian juga dengan hal membenci dimana sangat mudah sekali membenci orang yang telah melukakan hati kita atau yang telah melakukan sesuatu yang buruk/jahat kepada diri kita atau orang yang memang kita tidak suka kerana ada sesuatu menyebabkan kita berbuat demikian secara sedar atau pun tidak.
Sedarkah kita bahawa apabila kita mencinta sesama manusia, kita dapat hidup dengan aman dan tenteram. Dan apabila kita membenci seseorang, kitalah yang merasa tertekan dan terbeban kerana jiwa kita tidak tenteram dan aman gara-gara membenci orang. Jadi, didalam hal ini, kita yang paling rugi apabila kita membenci orang. Dan kalau orang yang kita benci itu, sentiasa bersikap peramah dan baik kepada kita meskipun kita membencinya, kita akan merasa lebih tertekan dan merasa "kelang-kabut." Jiwa kita tidak tenang dan muka kita pula sentiasa "tegang." Kita sentiasa merasa ada "tension" didalam hati kita terutama sekali setiap kali bertemu dengan orang yang kita benci. Ini bererti apabila kita membenci, diri kita sendirilah yang paling rugi. Meskipun sifat kita itu mungkin berpatutan menurut kebiasaan duniawi kerana mungkin orang berkenaan telah melakukan sesuatu yang jahat kepada kita, namun kita tetapi berada dipihak yang "rugi dan kalah."
Sesungguhnya, sifat membenci menunjukkan kita masih bersifat seperti keanak-anakkan(childish) dan tiada ada kematangan didalam hidup sebagai seorang yang sudah dewasa atau tua.
Sebab itu, kalau orang lain bersalah kepada kita ampunilah mereka meskipun mereka mungkin tidak memohon maaf/ampun daripada kita. Dengan ini, kita dapat hidup tanpa apa-apa "tension" atau ketidak-tenteraman didalam jiwa kita. Dan kalau kita yang bersalah, beranikanlah diri untuk memohon ampun diatas kesalahan kita. Dan kalau orang itu tidak mengampuni kita, tidak usah bersusah hati lagi kerana kita dah meminta maaf. Kalau dia tidak ampunkan kesalahkan kita itu masallah dia. Yang penting kita dah meminta ampun.
Akhir sekali, marilah kita sama-sama berusaha untuk lebih menyayangi orang dan sentiasa mengenepikan perasaan membenci orang lain. Sebaiknya, sebagai manusia yang dicipta Tuhan, kita semua harus berusaha untuk lebih mencintai dan lebih mengampuni sesama orang tanpa mengira latarbelakang, agama, bangsa dan kedudukan seseorang. Dengan cara ini kita semua dapat hidup dengan aman dan harmoni. Disamping mendapat berkat daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Pengampun.Amin.

Wednesday, August 27, 2008

10 Perintah Tuhan

Masih ingatkah kamu apa itu "Sepuluh Perintah Tuhan" ? Ingat? Kalau dah lupa-lupa berikut adalah hadiah untuk anda. Berdasarkan kepada Alkitab Kristian yang lengkap, terdapat SEPULUH PERINTAH TUHAN ALLAH YANG UTAMA:
01: Aku Allah, Tuhan mu. Sebab itu janganlah memuja berhala; Berbaktilah kepda-KU saja dan cintailah Aku lebih dari segala sesuatu.
02: Jangan menyebut Nama Allah, Tuhan mu tidak dengan hormat.
03: Kuduskankanlah hari Tuhan.
04: Hormatilah ibubapa mu.
05: Jangan membunuh.
06: Jangan berbuat cabul atau zina.
07: Jangan mencuri.
08: Jangan berbohong atau berdusta.
09: Jangan mengingini isteri(suami) orang lain.
10: Jangan mengingini harta-benda orang lain.

(Rujukan Kitab Keluaran 20:1-17; Kitab Ulangan 5:1-22).

Sesungguhnya, inilah yang menjadi Pedoman dan Pegangan didalam hidup kita selaku orang Kristian. Sebab itu, marilah kita bersama-sama berusaha sungguh-sungguh untuk melaksanakan Perintah-perintah Tuhan ini didalam kehidupan kita setiap hari. Jangan mudah berputus asa didalam hal melakukannya. Kuatkan hati dan tingkatkan semangat jati untuk menjadi umat Kristian yang lebih baik. Amin.

Friday, August 15, 2008

$$$ Wang alias Duit $$$

Siapa yang tak suka padanya? Saya pasti semua orang sukakan wang atau duit! Itulah sebabnya, banyak orang sibuk sekali mencari atau mendapatkan wang dengan berkerja keras. Kerana dirasakan lebih banyak duit lebih baik supaya orang kaya atau jutawan. Sebenarnya, Tidak salah mencari wang lebih banyak asalkan cara yang digunakan untuk mendapatkannya adalah cara yang beretika, baik, bersih, dan halal atau tidak bertentangan dengan pengajaran agama yang dianuti.

Tidak dapat dinafikan bahawa ada orang yang terlalu tergila-gilakan wang sehingga sanggup membuat apa saja termasuklah cara dan teknik yang jahat, dan kotor seperti menerima rasuah, pelacuran, mengelapkan wang syarikat atau kerajaan, menipu dan menjual barang-barang yang merbahaya dan terlarang seperti dadah demi mendapatkan wang yang mudah dan banyak. Malah ada juga orang menggunakan keganasan dan kekejaman seperti membunuh, mengugut, kerana mahu mendapatkannya secara cepat dan mudah. Semuanya ini dilakukan gara-gara mahu cepat kaya!

Sesungguhnya, cara-cara seperti yang disebutkan tadi adalah salah dan dosa. Sebab itu, kita jauhilah dan tinggalkanlah cara yang berkenaan. Kerana wang yang kita dapat haruslah daripada sumber yang bersih, baik, suci dan halal. Dengan ini wang yang ada ditangan kita adalah bersih dan mendatangkan berkat daripada Tuhan. Jadi, jelaslah kepada kita bahawa wang boleh membawa berkat atau kebaikan didalam kehidupan kita. Tetapi ia juga boleh mendatangkan keburukan malah dosa jika ianya berasal dari sumber yang jahat, kotor dan haram. Selain daripada itu, kita juga mestilah berhati-hati didalam hal menggunakan wang.

Sesungguhnya, tujuan utama wang adalah untuk melakukan kebaikan dan kebajikan bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga kepada ahli-ahli keluarga, saudara-mara, dan juga kepada orang lain terutama sekali kepada orang yang memerlukan. Hulurkanlah bantuan kepada orang-orang yang miskin dan susah. Jangan sekali-kali bersikap kedekut dan tamak didalam hal duit. Tidak ada gunanya kita kaya tetapi tidak menggunakan kekayaan kita untuk mendatangkan berkat daripada Tuhan.

Sesungguhnya, wang pada sendirinya adalah baik. Meskipun ada orang yang menyatakan bahawa wang adalah punca atau sumber segala kejahatan. Tetapi pendapat ini adalah salah dan tidak betul. Kerana pada dasarnya wang adalah baik. Tetapi jika disalahgunakan ianya boleh mengakibatkan masalah, kejahatan dan keganasan. Jadi, kebaikan atau keburukan wang adalah bergantung sepenuhnya kepada cara seseorang menggunakannya! Jadi, yang membuatnya jahat ialah penggunanya atau pemiliknya yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawap. Jestru itu, marilah kita sama-sama mencari wang dengan cara yang baik dan menggunakannya dengan baik dengan melakukan kebaikan dan kebajikan kepada sesama manusia. Jangan sekali-kali kita menggunkannya untuk kejahatan. Amin.

Thursday, August 14, 2008

Perintah Tuhan yang terpenting sekali



Pernahkah anda bertanya apakah Pengajaran atau Perintah Tuhan yang terpenting sekali? Dulu saya sering juga memikirkan hal ini dan tercari-cari jawapannya. Puas juga saya memeras otak untuk mendapatkan jawapan yang memuaskan. Tetapi, tidak dapat sehinggalah saya berjaya memiliki sebuah Alkitab yang lengkap. Jawapannya terdapat didalam Injil Markus yang berbunyi: " Kasihilah Tuhan, Allahmu dengan segenap hatimu, dan dengan segenap jiwamu, dan dengan segenap akal budimu dan dengan segenap kekuatanmu" (Mrk.12:30-31; Mat.22:34-38;Luk.10:10:25-28).
Saya fikir tidak adalah lagi Perintah yang lebih penting daripada ini. Inilah perintah yang harus kita usahakan didalam kehidupan agar dapat melakukannya didalam kehidupan kita setiap hari dan sepanjang kehidupan kita didunia ini. Kerana selaku manusia, tugas atau tanggungjawap kita yang terpenting sekali didalam hidup ini ialah mencintai Tuhan sepanjang hidup kita, kerana Dialah Pencipta kita.
Cinta kita kepada Tuhan mestilah mantap dan sepenuh hati. Kita haruslah sungguh-sungguh dan serious didalam perkara ini kecuali kalau kita tak kisah masuk neraka disuatu hari nanti. Tetapi, sebagai orang yang mahukan kebahagian sejati dan keselamatan serta merindukan kehidupan di Surga, kita tidak boleh bersikap separuh hati didalam hal mencintai Tuhan. Kita mesti mencintaiNya sepenuh hati dan sepanjang kehidupan kita didunia ini agar peluang kita untuk menikmati kehidupan disamping denganNya dimasa akan datang lebih cerah. Jestu itu, marilah kita mencintai Tuhan melalui fikiran, perkataan dan perbuatan sepanjangan hayat kita didunia ini. Disamping itu, jangan kita lupa menjauhi apa juga jenis kejahatan dan kekejian yang boleh membawa dosa. Kerana upah dosa ialah maut iaitu kesengsaraan ke dalam api neraka. Jestru itu, marilah melakukan apa yang diberkati dan diredai oleh Tuhan demi cinta kita yang sejati kepadaNya; dan demi mendapat kebahagian dan keselamatan kita diakhir zaman nanti. Semoga kepenuhan dan kejujuran kita mencintai Tuhan, diberkatiNya dengan kehidupan abadi bersama-sama denganNya didalam Surga.Amin.